KDEBWM rangkul anugerah IBR ASEAN sekali lagi

Ramli (kiri) menerima Anugerah IBR ASEAN 2022 pada Majlis Anugerah dan Makan Malam Gala The IBR Group di Sepang.
Ramli (kiri) menerima Anugerah IBR ASEAN 2022 pada Majlis Anugerah dan Makan Malam Gala The IBR Group di Sepang.
A
A
A

SEPANG - KDEB Waste Management (KDEBWM) sekali lagi merangkul Anugerah International Business Review (IBR) ASEAN 2022 dalam kategori Kecemerlangan Korporat Sektor Utiliti bagi Pengurusan Sisa Pepejal Pintar oleh The IBR Asia Group.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, kemenangan itu menjadi pembakar semangat kepada beliau bersama hampir 11,000 pekerja syarikat tersebut untuk terus memberi khidmat cemerlang pada masa depan.

"Anugerah yang diterima ini menunjukkan komitmen kita selama ini sebagai syarikat terbesar mengurus sampah dan sisa pepejal di Selangor terus diiktiraf.

"Kejayaan ini juga memberi rangsangan kepada kita untuk mempertingkatkan sistem operasi dalam mendepani keadaan lebih sukar selepas musibah banjir dan pandemik Covid-19. Selain itu, kita turut berdepan isu sampah haram. Jadi kita bertekad untuk terus berikan servis terbaik serta mampu bersih dan kutip sampah pada bila-bila masa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima anugerah berprestij berkenaan daripada Duta Persekutuan Rusia ke Malaysia, Naily M Latypov pada Majlis Anugerah dan Makan Malam Gala The IBR Group di sini pada malam Jumaat.

KDEBWM yang juga anak syarikat kerajaan Selangor sebelum ini merangkul anugerah sama pada 2020 atas perkhidmatan pengurusan sisa pepejal pintar yang memberi nilai tambah terhadap kualiti hidup masyarakat.

Ramli menjelaskan, KDEBWM akan terus menyediakan perkhidmatan selaras dengan kemajuan zaman dengan menggunakan teknologi pintar.

"Pada masa sama, KDEBWM meletakkan kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sebagai keutamaan dalam perkembangan perniagaan berasaskan perkhidmatan kemudahan asas rakyat," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Ramli merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga kerja dan pemegang taruh KDEBWM ketika diberikan peluang berucap selepas menerima anugerah.
Ramli merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga kerja dan pemegang taruh KDEBWM ketika diberikan peluang berucap selepas menerima anugerah.

Ramli memberitahu, KDEBWM telah mendapat kelulusan daripada kerajaan Selangor untuk membangunkan loji tenaga dari sisa sampah dan pembinaan panel solar di Rawang pada dua minggu lalu.

"Projek besar yang akan menjadi projek utama KDEBWM ini dijangka akan menelan belanja antara RM1.5 bilion hingga RM2 bilion dalam masa lima tahun.

"Melalui inisiatif ini kita memasuki cabang baharu dalam pengurusan sampah iaitu bukan sahaja melupuskan sampah tetapi mengolah ia menjadi tenaga," ulasnya.

Kata beliau, usaha itu juga dapat menyelamatkan tanah kosong yang terhad di Selangor daripada menjadi tapak pelupusan sampah.

"Dengan projek baharu ini kita akan hantar sekitar lima hingga 10 peratus sahaja sampah ke tapak pelupusan dan selebihnya akan diproses untuk hasilkan tenaga," jelasnya.