Lima sungai berada pada paras bahaya

Bacaan paras air sungai Golok iaitu 9.35 meter melepasi paras bahaya pada jam 12.45 tengah hari Sabtu. - Foto Bernama
Bacaan paras air sungai Golok iaitu 9.35 meter melepasi paras bahaya pada jam 12.45 tengah hari Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Lima sungai masing-masing terletak di Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak berada pada paras bahaya setakat jam 10 pagi Sabtu.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan berkata, ia membabitkan lokasi di Sungai Triang, Bera, Pahang; Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan; Sungai Muar di Pekang Rompin, Jempol, Negeri Sembilan; Sungai Melaka, di Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka dan Long Teru, Miri, Sarawak.

Sementara itu, terdapat sembilan sungai yang merekodkan bacaan pada paras amaran dengan tiga daripadanya di Pahang, dua di Terengganu dan satu lokasi masing-masing di Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai paras air dan hujan di seluruh negara dengan merujuk di aplikasi MyPublicInfobanjir atau laman sesawang Public InfoBanjir http://publicinfobanjir.water.gov.my.

Dalam pada itu, Nadma dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan setakat jam 12 tengah hari Sabtu, pusat pemindahan mangsa (PPS) banjir meningkat kepada 14 buah dengan tujuh daripadanya dibuka di Terengganu, empat di Pahang, dua di Kelantan dan satu di Perak.

Bilangan keseluruhan mangsa terlibat ialah seramai 792 orang terdiri daripada 219 keluarga dengan jumlah teramai adalah di Pahang iaitu membabitkan 364 mangsa daripada 109 keluarga diikuti Terengganu (326 mangsa daripada 87 keluarga).

Artikel Berkaitan: