PM terima kunjungan hormat TPM Thailand

Anwar (kiri) menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan di kediaman rasminya di Seri Perdana pada Khamis. -Foto: Bernama
Anwar (kiri) menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan di kediaman rasminya di Seri Perdana pada Khamis. -Foto: Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Thailand Jen Prawit Wongsuwan, di kediaman rasminya di Seri Perdana pada Khamis.

Lawatan khas Prawit ke Malaysia itu, diiringi Timbalan Menteri Pertahanan Thailand Jen Chaichan Changmongkol.

Ketibaan Prawit dan delegasinya di Seri Perdana kira-kira jam 12 tengah hari itu, disambut Anwar bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sejurus tiba, Anwar dan Prawit mengadakan perbincangan selama hampir dua jam dan kemudiannya meraikan Prawit serta delegasinya dalam majlis makan tengah hari.

Perdana Menteri yang ditemui selepas itu secara ringkas berkata, perbincangan beliau dan Prawit antara lain menyentuh mengenai insiden letupan bom mengakibatkan sebuah keretapi barang yang dalam perjalanan dari Hatyai ke Padang Besar tergelincir, pada 6 Disember lalu.

Prawit dan delegasinya tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 11 pagi Khamis bagi sesi lawatan khas sehari ke Malaysia.

Kunjungan yang antara lain bertujuan memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara serta bertukar pandangan dan perkongsian maklumat bagi kebaikan serantau itu, merupakan kunjungan kedua Prawit ke Malaysia sejak pintu sempadan negara dibuka semula pada April lalu akibat pandemik Covid-19.

Kali pertama Prawit ke negara ini pada Mei lepas bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Ke-55 antara Malaysia dan Thailand di Kuala Lumpur.

Malaysia dan Thailand telah menjalin hubungan diplomatik selama 65 tahun sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.
Artikel Berkaitan:


Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar bagi Malaysia di dunia dan kedua terbesar di rantau ASEAN, manakala Malaysia kekal sebagai rakan dagang keempat terbesar bagi Thailand di dunia. - Bernama