Anwar pulang ke Tambun selepas dilantik PM

Anwar akan pulang ke Tambun pada Jumaat.
Anwar akan pulang ke Tambun pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Selepas lapan hari dilantik sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang ke Tambun pada Jumaat, di kerusi Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Anwar, 75, dijadualkan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta pada jam 10 pagi dalam sesi yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu kemudian akan menyertai sesi tinjauan mesra bersama warga Parlimen di Pasar Tanjung Rambutan bagi menzahirkan penghargaan kepada para pengundi dan penyokongnya.

Perdana menteri juga akan melawat tapak Klinik Kesihatan Manjoi yang dalam proses untuk dibangunkan di Jalan Masjid, Kampung Masjid.

Beliau kemudiannya bakal menunaikan solat Jumaat di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati, kira-kira lima kilometer dari pusat bandar raya sebelum menyertai kenduri rakyat yang diadakan di situ dan selepas itu pulang ke Putrajaya.

Anwar menawan kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 dengan memperoleh majoriti 3,736 undi dalam saingan empat penjuru.

Beliau memperoleh 49,625 undi untuk mengatasi penyandang kerusi, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 45,889 undi, Datuk Aminuddin Md Hanafiah (Barisan Nasional) 28,140 undi dan Abdul Rahim Tahir daripada Gerakan Tanah Air (1,115 undi).

Anwar mengetuai PH yang menyaksikan gabungan parti PKR, DAP, Amanah, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan rakan sekutu Muda memperoleh 82 kerusi pada PRU15. - Bernama

Artikel Berkaitan: