BN menang isyarat rakyat tolak politik fitnah: Mohamad

Sidang media Mohamad selepas diisytiharkan menang PRK DUN Rantau di Dewan Serbaguna SJKC Bandar Sri Sendayan di sini, malam ini. - Foto Adam Amir Hamzah
A
A

SEREMBAN - ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kejayaan beliau mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 15 tahun lalu bukti rakyat menolak budaya politik fitnah.

Katanya, rakyat sudah muak dengan sikap kerajaan PH yang sering menunding kesalahan kepada pihak lain khususnya BN.

Menurutnya, ia terbukti apabila apabila beliau dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sering menjadi sasaran fitnah sepanjang kempen PRK DUN Rantau.

"Orang nak tahu apa hala tuju kerajaan, dasar ekonomi dasar luar negara macam mana. Jangan asyik nak tuduh orang dan bercakap tentang kesalahan BN.

"Saya rasa rakyat sudah muak dengan tuduhan -tuduhan (fitnah BN) sebegitu," katanya pada sidang media sebaik diisytiharkan menang PRK DUN Rantau di Dewan Serbaguna SJKC Bandar Sri Sendayan di sini, malam ini.

Terdahulu, Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat berjaya mempertahankan kerusi DUN yang disandangnya sejak tiga penggal lalu dengan majoriti 4,510 undi pada PRK hari ini.

Tok Mat memperoleh 10,397 undi sekaligus menewaskan calon PH, Dr S Streram yang mendapat 5,887 undi.

Dua calon Bebas iaitu R Malar memperolehi 83 undi manakala Mohd Nor Yassin 79 undi sekaligus menyebabkan mereka hilang wang deposit.

Dalam pada itu, Tok Mat turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih dengan sokongan semua pihak khususnya parti komponen BN dan juga Pas kerana turut menyumbang kepada kejayaan dengan majoriti selesa itu.