Dua beranak melecur, rumah terbakar

Anggota bomba memberikan rawatan awal terhadap salah seorang mangsa kebakaran sebuah rumah teres di Taman Sunway, Batu Caves di sini pada Selasa.
Anggota bomba memberikan rawatan awal terhadap salah seorang mangsa kebakaran sebuah rumah teres di Taman Sunway, Batu Caves di sini pada Selasa.
A
A
A

GOMBAK - Seorang wanita warga emas bersama anaknya cedera dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah teres di Taman Sunway, Batu Caves di sini pada Selasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.58 pagi.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 9.08 pagi.

"Kebakaran melibatkan sebuah bilik di rumah teres dua tingkat, mengalami kebakaran sebanyak 20 peratus," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, kebakaran turut melibatkan dua mangsa mengalami kecederaan.

"Mangsa yang terlibat merupakan seorang wanita warga emas berumur 61 tahun yang mengalami kecederaan melecur manakala seorang lagi juga merupakan wanita berumur 20-an dan turut mengalami kecederaan ringan.

"Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, anggota terlibat menjalankan kerja pemadaman bagi mengelakkan api marak dan merebak.

Artikel Berkaitan:

"Pemadaman menggunakan dua aliran air dengan dua pancutan pam oleh sebuah jentera bomba.

"Turut membantu memadamkan kebakaran adalah Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gombak," katanya.

Tambahnya, setakat ini punca kejadian serta anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan.