Skuad Muda Harimau Malaya perlu lebih agresif

Skuad bola sepak B-23 kebangsaan kendalian Jurulatih E Elavarasan mengadakan sesi latihan di Padang Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, pada Isnin. - Foto Bernama
Skuad bola sepak B-23 kebangsaan kendalian Jurulatih E Elavarasan mengadakan sesi latihan di Padang Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, E. Elavarasan mengingatkan anak buahnya untuk membiasakan diri dengan corak permainan agresif seperti yang diterapkan dalam skuad senior kebangsaan.

Elavarasan berkata, selaku 'ubi muda', penerapan corak permainan sedemikian penting kerana ia bukan sahaja membolehkan mereka menyerlah malah membuka ruang pemain muda untuk menyertai skuad senior negara untuk menghadapi kejohanan kompetitif pada masa akan datang.

Saya rasa sebagai pemain muda, kena agresif daripada skuad utama. Bila kamu agresif dalam apa posisi sekalipun, ia akan memberi banyak peluang untuk ke skuad utama negara.

"Di mana-mana tempat pun selalunya memang demikian, jadi kita kena sediakan pemain dengan konsep sebegitu," katanya kepada pemberita pada sesi kem latihan pusat skuad B-23 di Kompleks Sukan PKNS, di sini pada Isnin.

Menurut Elavarasan, corak permainan seperti itu turut dituntut untuk diterapkan oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

Elavarasan, yang juga penolong jurulatih kepada Pan Gon, dalam pada itu optimis mampu mempersiapkan skuad itu sepenuhnya sebelum mengharungi beberapa kejohanan bermula pada tahun hadapan.

Panggilan latihan pusat hari ini adalah sebagai persiapan awal skuad B-23 itu untuk mengharungi jadual perlawanan yang cukup padat sepanjang musim depan.

Antara kejohanan akan ditempuhi skuad muda negara itu termasuk Piala AFF B-23; Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja; Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China dan Kelayakan Piala Asia/Sukan Olimpik B-23 2024. - Bernama

Artikel Berkaitan: