Final Piala Malaysia 2022 penuh debaran

Selangor dan JDT berentap dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 3 November lalu. - FOTO Selangor FC
Selangor dan JDT berentap dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 3 November lalu. - FOTO Selangor FC
A
A
A

ATAS kertas, Johor Darul Ta’zim (JDT) dilabel pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Malaysia 2022 apabila turun dengan misi memburu gelaran quadruple.

Namun, Selangor FC tidak boleh dipandang sebelah mata apabila hanya tewas sekali dalam 10 perlawanan sejak Tan Cheng Hoe membimbing The Red Giants pada 24 September lalu.

Bagi pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Richard Scully, beliau meramalkan aksi final yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini dijangka sengit.

Malah, Richard tidak menolak mungkin akan ada elemen kejutan ditampilkan kedua-dua pasukan bagi merebut gelaran juara Piala Malaysia kali ini.

“Saya ramalkan final kali ini akan berlangsung sengit berdasarkan prestasi semasa kedua-dua pasukan. Saya tidak nafikan JDT mempunyai kelebihan berbanding Selangor.

“Namun, kita juga perlu tahu Selangor di bawah bimbingan Cheng Hoe telah menunjukkan permainan meyakinkan. Saya fikir ia akan memberi impak positif kepada pasukan itu sendiri.

“Jadi memang sukar untuk saya ramalkan siapa yang akan menang. Tapi saya percaya akan ada elemen kejutan seperti yang berlaku pada Piala Dunia ketika ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Untuk rekod, kali terakhir JDT memenangi Piala Malaysia adalah pada 2019, manakala Selangor yang merupakan juara 33 kali pula mengungguli pada 2015.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan rekod musim ini, kedua-dua pasukan pernah bertembung dalam saingan Liga Super yang mana keputusan memihak kepada JDT dengan satu kemenangan dan satu keputusan seri.

Seorang lagi pemerhati bola sepak, Azlan Johar turut senada dengan pandangan Scully, namun memilih Selangor sebagai pasukan pilihan untuk menjadi juara Piala Malaysia 2022.

“FInal itu akan berlangsung sengit, tetapi kemenangan akan berpihak kepada Selangor yang mempunyai kelebihan kerana mereka bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Ia seolah-olah seperti mereka bermain di laman sendiri yang mana sudah tentu ramai penyokong Selangor akan turun hadir ke stadium pada aksi final itu nanti,” ujarnya.