Maritim selamatkan dua pemancing terperangkap air pasang

Nizamudin dan Mohamad Amirul Amin ditemui dalam keadaan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Nizamudin dan Mohamad Amirul Amin ditemui dalam keadaan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua pemancing berdepan saat cemas selepas terperangkap di atas batu ketika air pasang di kawasan perairan Permatang Pasir, Pulau Betong pada malam Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada salah seorang mangsa sekitar jam 10.10 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota bersama bot ronda PERKASA 1220 diatur gerak ke lokasi pemancing berkenaan dan tiba dalam tempoh kurang lima minit ke kawasan itu.

"Mangsa, Nizamudin Azam, 37, dan Mohamad Amirul Amin Azman, 28, ditemui dalam keadaan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kedua-dua mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban Maritim untuk pemeriksaan kesihatan," katanya menerusi kenyataan media di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Abd Razak mengingatkan seluruh komuniti maritim agar mengutamakan keselamatan terutama ketika keadaan laut bergelora dan cuaca yang tidak menentu.

Katanya, mereka dinasihatkan untuk menangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan.

"Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat perlakuan jenayah daripada komuniti maritim serta kecemasan di laut boleh dilaporkan terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146 atau MERS 999," katanya.

Artikel Berkaitan: