Terima keputusan BWF tukar venue Final Jelajah Dunia

Kenny Goh
Kenny Goh
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menyambut baik keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang meminda tarikh dan venue Final Jelajah Dunia 2022 ke Bangkok, Thailand yang dijadualkan bermula 7 hingga 11 Disember ini.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, tindakan pantas yang dilakukan badan induk badminton dunia itu sangat wajar berdasarkan situasi semasa yang berlaku di venue asal iaitu Guangzhou, China.

“Pertama sekali saya memuji keputusan BWF yang menukar venue Final Jelajah Dunia dari Guangzhou ke Bangkok. Kami sifatkan tindakan itu wajar dilakukan memandangkan situasi yang tidak menentu di China.

“Keputusan itu secara tidak langsung memudahkan pergerakan pemain kami kerana jaraknya yang dekat. Selain itu dekat sana (Bangkok) nanti mereka tidak ada SOP yang ketat berbanding apa yang ditetapkan di China sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

BWF sebelum ini dalam satu kenyataan memaklumkan Final Jelajah Dunia BWF 2022 telah dipindahkan dari Guangzhou ke Bangkok, akan bermula pada 7 Disember, seminggu lebih awal daripada yang dijadualkan.

Kejohanan itu, yang dijadualkan bermula pada 14 Disember, ditolak ke hadapan kerana isu ketersediaan stadium.

“BWF melalui rundingan bersama Persatuan Badminton China (CBA) bersetuju untuk menukar venue Final Jelajah Dunia BWF 2022 berikutan pelbagai cabaran yang dibawa oleh situasi pandemik semasa.

“BWF juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Badminton Thailand kerana menyediakan lokasi gantian untuk kejohanan ini meskipun menerima notis lewat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Malaysia mempunyai beberapa wakil di kejohanan itu termasuk juara dunia beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Pearly Tan-M Thinaah, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien, dan Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Pemain nombor dua dunia Lee Zii Jia, masih boleh melayakkan diri jika dia beraksi cemerlang di Terbuka Australia minggu ini.