APM siap siaga berdepan risiko bencana berganda

Anggota Angkatan Pertahanan Awam(APM) bersiap sedia menghadapi sebarang risiko berlakunya banjir di negeri ini.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam(APM) bersiap sedia menghadapi sebarang risiko berlakunya banjir di negeri ini.
A
A
A

KLANG - Pemantauan secara berkala dilaksanakan di setiap daerah terutamanya lokasi titik panas melibatkan kawasan risiko berlakunya banjir di negeri ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata pihaknya mempertingkatkan kesiap siagaan berhubung amaran hujan lebat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorolgi Malaysia (MetMalaysia).

"Amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sentiasa tidak dipandang ringan oleh agensi penyelamat dengan peranan sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana.

Kami turut bersiap sedia berikutan ramalan berlakunya angin ribut di beberapa lokasi tertentu selain kebarangkalian hujan lebat dan pertembungan dengan fenomena air pasang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, masyarakat diingatkan agar melakukan persediaan awal bagi menghadapi situasi luar jangka ini.

"Kita sukar menjangkakan kesan atau akibat sekiranya berlaku pertembungan air pasang dengan cuaca angin ribut serta hujan lebat yang diistilahkan sebagai antara kriteria bencana berganda ini.

"Masyarakat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada bersama beg kecemasan bencana yang kita perkenalkan sebelum ini dan peka dengan keadaan cuaca semasa," katanya.

Menurutnya, setakat jam 4 petang ini, terdapat enam buah pusat pemindahan sementara(PPS) dengan seramai 407 mangsa ditempatkan.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat dua PPS di Klang iaitu SK Sungai Binjai (240 mangsa), Masjid Johan Setia (36 mangsa).

"Selain itu, terdapat empat PPS di Kuala Selangor iaitu Dewan MPKS Seri Harmoni, Ijok (18 mangsa), SK Sg. Sireh (12 mangsa), SMK Jeram (43 mangsa) dan SJKC Yuk Chih (58 mangsa)," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan 13 negeri, sehingga jam 9 malam.

MetMalaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan, amaran itu dikeluarkan ekoran terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Pada Ahad, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat bagi beberapa kawasan di Terengganu, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Johor, Kuala Lumpur dan Pahang.