GTA bukan parti anti-Cina: Dr Mahathir

Dr Mahathir ketika berucap di hadapan komuniti Cina di sebuah kafe di Alor Setar pada Sabtu.
Dr Mahathir ketika berucap di hadapan komuniti Cina di sebuah kafe di Alor Setar pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Gerakan Tanah Air (GTA) bukan sebuah parti politik anti-Cina susulan gabungan itu ditunjangi empat parti Melayu tanpa dianggotai mana-mana parti politik mewakili kaum Cina.

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, matlamat utama GTA adalah untuk menyingkirkan parti Melayu yang disifatkan ‘tidak baik’ agar tidak terus mentadbir negara ini.

Menurutnya, walaupun GTA dianggotai 100 peratus Melayu, namun gabungan itu bukan diwujudkan untuk menyaingi kaum Cina, sebaliknya mahu menjatuhkan parti Melayu yang korupsi iaitu Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.

“Kita buat parti Melayu kerana parti bukan Melayu yang bercampur sebelum ini tidak boleh lawan UMNO.

"Kita tak ada orang Cina dalam GTA tetapi kita sudah jelaskan kepada mereka kenapa kita tak ambil orang Cina, antaranya sebab kita bimbang orang Melayu di luar bandar tak mahu sokong kalau ada parti Cina,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan dialog bersama komuniti Cina dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama, calon GTA dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi Parlimen Alor Setar, Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat.

Dr Mahathir berkata, hasrat GTA itu disambut baik komuniti Cina dan mereka memahami apa yang menjadi aspirasi gabungan itu.

“Kita nak lawan UMNO, kalau orang Melayu tak sokong GTA, mereka akan sokong UMNO, iaitu parti yang tidak baik.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu kita ada parti Melayu dan saya telah berjumpa dan terangkan kepada masyarakat Cina kenapa kita buat parti Melayu, bukan sebab anti-Cina tetapi anti-Melayu jahat,” katanya lagi.

Menurutnya, matlamat GTA hanya untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak baik dan bukannya bersifat perkauman.

“Kita mahu dirikan kerajaan baharu terdiri daripada pemimpin yang bersih daripada sebarang jenayah. Harap masyarakat Cina bagi sokongan kepada GTA,” katanya.

Dr Mahathir berkata, sokongan Melayu kini berpecah kepada empat kelompok iaitu BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) selain GTA.

“Ada kawasan majoriti masyarakat Cina dan Melayu minoriti atau sebaliknya. Kalau Cina bagi sokongan kepada mana-mana parti, parti tersebut akan menang.

“Kita akan hapuskan pemimpin yang jahat, dirikan kerajaan yang baik mengikut undang-undang dan beri layanan kepada semua kaum mengikut Perlembagaan negara.

"Kalau ditadbir kerajaan yang baik, Malaysia akan kembali menjadi Harimau Asia, bukannya negara kleptokrasi yang diperintah oleh penyangak,” katanya.

Tambah Dr Mahathir, sekiranya negara stabil, semua kaum dapat menjalankan perniagaan dengan lancar tanpa gangguan atau birokrasi yang lemah.