Rombongan Belanda ke Qatar 2022 tanpa Van de Beek

Van de Beek
Van de Beek
A
A
A

TIADA ruang buat pemain tengah Manchester United, Donny van de Beek dalam rombongan Belanda untuk ke Piala Dunia 2022 di Qatar yang bakal menyingkap tirainya 21 November ini.

Pengendali The Oranje, Louis van Gaal mengumumkan senarai skuad 26 pemain ke Qatar pada Jumaat dengan menyelitkan tiga pemain Liga Perdana Inggeris.

Benteng kental Liverpool, Virgil van Dijk akan mengetuai barisan Oranje manakala pertahanan Manchester City, Nathan Ake dan pertahanan United, Tyrell Malacia turut menjadi sandaran Van Gaal.

Begitupun, Malacia tidak akan disertai rakan sepasukannya di Old Trafford, Van de Beek yang masih bergelut untuk menyarung jersi utama Red Devils apabila gagal menjaringkan gol atau bantuan jaringan dalam tujuh penampilan musim ini.

Seorang lagi pemain berprofil tinggi disisihkan adalah Jasper Cillessen, penjaga gol yang telah membuat 63 penampilan untuk negaranya dan membantu Belanda menduduki tempat ketiga pada Piala Dunia 2014 di Brazil.

Menurut media Belanda, bekas penjaga gol Ajax dan Barcelona itu, yang kini bersama kelab Eredivisie Belanda, NEC Nijmegen, pada awalnya menjangkakan akan tersenarai menjadi berang apabila mengetahui disisihkan dari rombongan Oranje ke Qatar 2022.

Laporan itu menyatakan penjaga gawang veteran itu sebelum ini meninggalkan Valencia untuk kembali ke Belanda bagi meraih minit permainan yang akan meningkatkan peluangnya disenaraikan dalam skuad Piala Dunia 2022.

Untuk rekod, Cillessen hanya beraksi 30 perlawanan dalam satu musim sejak meninggalkan Ajax Amsterdam untuk menyertai Barcelona pada 2017.

Artikel Berkaitan:

Dia berkhidmat sebagai pelapis kepada Marc-Andre ter Stegen di Camp Nou, menambah dua gelaran La Liga dan dua Piala Raja Sepanyol ke dalam kabinet trofi bagi melengkapkan koleksi tiga gelaran Eredivisie sebelum ini.

Untuk rekod, Van Gaal telah memilih Justin Bijlow dari Feyenoord, Andries Noppert dari Heerenveen dan Remko Pasveer dari Ajax sebagai tiga penjaga golnya.



SKUAD PIALA DUNIA QATAR 2022 BELANDA

Penjaga gol: Justin Bijlow (Feyenoord), Andries Noppert (Heerenveen), Remko Pasveer (Ajax Amsterdam)

Pertahanan: Nathan Ake (Manchester City), Daley Blind (Ajax), Virgil van Dijk (Liverpool), Denzel Dumfries (Internazionale), Jeremie Frimpong (Bayer Leverkusen), Matthijs de Ligt (Bayern Munchen), Tyrell Malacia (Manchester United), Jurrien Timber (Ajax), Stefan de Vrij (Internazionale)

Pemain tengah: Steven Berghuis (Ajax), Frenkie de Jong (Barcelona), Davy Klaassen (Ajax), Teun Koopmeiners (Atalanta Bergamo), Marten de Roon (Atalanta Bergamo), Xavi Simons (PSV Eindhoven), Kenneth Taylor (Ajax)

Penyerang: Steven Bergwijn (Ajax), Memphis Depay (Barcelona), Cody Gakpo (PSV), Vincent Janssen (Antwerp), Luuk de Jong (PSV), Noah Lang (Club Brugge), Wout Weghorst (Besiktas)