Prestasi KDNK bukti kerajaan berjaya pacu pemulihan ekonomi

Ismail Sabri berucap pada program Moh Ngeteh bersama penduduk Orang Asli sempena PRU15 di Kampung Bongkok pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri berucap pada program Moh Ngeteh bersama penduduk Orang Asli sempena PRU15 di Kampung Bongkok pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A
BERA - Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga tahun ini yang meningkat kepada 14.2 peratus adalah bukti kejayaan kerajaan memacu pemulihan ekonomi pasca Covid-19, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ia sekali gus membuktikan tuduhan yang mengatakan kerajaan gagal membawa perubahan kepada ekonomi negara adalah tidak tepat.

Katanya, peningkatan itu juga didorong oleh pembukaan sektor ekonomi selaras dengan peralihan ke fasa pandemik, di samping kejayaan memberangsangkan penggunaan sektor swasta dan pasaran buruh negara.

"Peningkatan 14.2 peratus itu lebih pesat daripada suku kedua iaitu 8.9 peratus dan suku pertama sebanyak 5 peratus,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Moh Ngeteh bersama komuniti Orang Asli di Kampung Orang Asli Bongkok di sini pada Jumaat.

"Begitu juga dengan kadar pengangguran yang terus menurun iaitu 3.6 peratus pada September lepas, berbanding 4.6 peratus pada Ogos 2021 (semasa beliau baru dilantik sebagai Perdana Menteri),” tambahnya.



Ismail Sabri berkata, keyakinan pengguna ditunjukkan dengan jualan perdagangan borong dan runcit yang mencapai RM134 bilion untuk Sept 2022 iaitu peningkatan 23.9 peratus berbanding September tahun lepas iaitu RM108.1 bilion.



"Sektor perniagaan semakin kukuh dengan jualan sektor pembuatan pada September 2022 sebanyak RM161.7 bilion iaitu peningkatan 19.5 peratus berbanding September 2021.

"Kerajaan sentiasa memantau perkembangan ekonomi global bagi memastikan impak besar kelembapan ekonomi tidak memberi kesan kepada negara,” katanya.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus pada Jumaat mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, dipacu oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh pasaran pekerja, eksport elektrik dan elektronik (E&E) dan bukan E&E yang teguh serta sokongan dasar yang berterusan.
Artikel Berkaitan:


Nor Shamsiah dilaporkan berkata, pertumbuhan itu sebahagiannya didorong oleh kesan asas yang rendah, berikutan langkah pembendungan yang ketat pada suku ketiga tahun lepas. - Bernama