Banjir: 52 rumah terjejas di Kampung Budiman

Syed Azizi ketika melakukan tinjauan PPS di Masjid Al Falah Kampung Budiman, Shah Alam pada Jumaat.
Syed Azizi ketika melakukan tinjauan PPS di Masjid Al Falah Kampung Budiman, Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 52 rumah penduduk di Kampung Budiman, dekat sini terjejas akibat banjir kilat pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, satu pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Masjid Al Falah dan menempatkan 46 mangsa terdiri daripada 14 keluarga membabitkan 24 lelaki serta 42 perempuan.

"Keadaan air telah surut setakat tengah hari ini. Namun, PPS masih diaktifkan kerana keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Kita bimbang kawasan takungan air akan melimpah sekiranya hujan lebat berlaku," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pemantauan itu diketuai Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Asisten Superintendan Syed Azizi Jamallulail Syed Abdul Aziz dan Ketua Polis Balai Bukit Jelutong, Inspektor Saipol Paizi Zainol.

Dalam pada itu, Mohd Iqbal berkata, selain itu, lima individu membabitkan tiga lelaki dan dua wanita didapati positif Covid-19 dan telah diasingkan di PPS terbabit dengan kawalan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambahnya, pemantauan banjir di kawasan itu turut melibatkan agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Daerah Petaling, bomba dan Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Setakat jam 10.15 pagi pada Jumaat, mangsa banjir di tiga PPS di Selangor dilaporkan meningkat kepada 633 orang daripada 147 keluarga.

Artikel Berkaitan:

Selangor membuka tiga PPS susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di Shah Alam dan Klang berikutan hujan lebat pada petang Khamis.

PPS berkenaan dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia, SK Sungai Binjai dan Masjid Al Falah Kampung Budiman.