Menteri British letak jawatan susulan dakwaan buli

Williamson meletak jawatan menteri pada Selasa. - Foto EPA
Williamson meletak jawatan menteri pada Selasa. - Foto EPA
A
A
A
LONDON - Menteri kabinet dalam kerajaan Rishi Sunak, Gavin Williamson meletak jawatan pada Selasa selepas timbul dakwaan bahawa beliau membuli rakan sekerja, lapor Xinhua.

The Sunday Times dan media tempatan lain melaporkan bahawa Williamson bertindak menghantar mesej berunsur makian kepada rakan sekerjanya.

Sementara itu, The Guardian pada Isnin melaporkan bahawa Williamson berkata kepada seorang penjawat awam untuk "mengelar leher sendiri" ketika menjadi setiausaha pertahanan dalam kerajaan Theresa May.

Menerusi surat peletakan jawatan yang disiarkan di Twitter, Williamson mendakwa beliau telah meminta maaf kepada penerima mesej itu dan akan bekerjasama dengan bahagian penyiasatan.

Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan terdapat unsur buli dalam kejadian kedua.



"Saya menafikan ciri-ciri dakwaan ini, tetapi saya menyedari hal ini menjadi gangguan terhadap kelancaran gerak kerja kerajaan untuk rakyat British.

"Oleh itu saya memutuskan untuk berundur daripada kerajaan supaya saya dapat mematuhi sepenuhnya proses aduan yang sedang dijalankan dan membersihkan nama saya daripada sebarang salah laku,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak berkata, beliau menerima peletakan jawatan Williamson "dengan rasa sedih".

Peletakan jawatan Williamson berlaku ketika barisan menteri pilihan Sunak mendapat perhatian yang meluas.

Pemimpin parti pembangkang menuntut peletakan jawatan Setiausaha Dalam Negeri Suella Braverman, yang dilantik semula oleh Sunak beberapa hari selepas beliau meletak jawatan daripada kabinet Truss kerana melanggar peraturan mengenai tingkah laku menteri. - Bernama
Artikel Berkaitan: