Jamal mohon maaf buat tuduhan berunsur perkauman

Tangkap layar Jamal ketika membuat video permohonan maaf menerusi akaun TikTok pada Selasa.
Tangkap layar Jamal ketika membuat video permohonan maaf menerusi akaun TikTok pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyanyi legenda tanah air, Datuk Jamal Abdillah tampil membuat permohonan maaf susulan memuat naik video berunsur perkauman di akaun TikTok pada Ahad.

Raja Pop Malaysia itu memberitahu, video tersebut hanya bersandarkan hasil perbualan bersama rakan-rakan berkenaan isu itu.

“Saya sebenarnya mendengar kata-kata daripada beberapa individu tentang isu yang saya sebutkan semalam (Isnin). Isu ini pernah ditularkan sebelum ini.

“Dengan rasa rendah diri, saya mohon ribuan ampun dan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana saya ubah hal itu dalam keadaan tidak mengetahui (perkara sebenar).

"Sebagai seorang rakyat Malaysia, memanglah kita tidak mahu perkara-perkara ini berlaku. Apapun pada parti itu khususnya, ribuan mohon maaf kalau saya buat kesilapan kerana perkara itu pernah tular dahulu,” katanya menerusi hantaran video di akaun TikTok bernama zettydja_.

Sebelum ini, perkongsian buah fikiran peribadi Jamal mengenal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tular di laman TikTok.

Beliau turut memetik nama DAP dan menyeru rakyat untuk tidak mengundi parti itu yang didakwa cuba menindas umat Islam dalam beberapa hal termasuk isu larangan azan dan sekolah tahfiz.

Hantaran video yang tular pada Ahad itu mendapat pelbagai reaksi terutamanya penduduk di Pulau Pinang yang menafikan tuduhan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pelantun suara lagu Azura itu dalam masa sama turut memohon maaf kepada DAP ekoran membuat tuduhan terhadap parti itu berkaitan isu yang politik yang berada di luar pengetahuannya.

Ujarnya, video berkenaan dihasilkan dan dimuat naik atas faktor kebimbangan beliau terhadap masa hadapan generasi akan datang.

“Apa-apa pun kepada DAP khususnya, saya memohon ribuan ampun dan maaf kalau kesilapan itu saya lakukan.

“Dalam perbincangan dengan kawan-kawan, perkara ini telah menjadi fokus. Saya tanpa ada pengetahuan tentang politik dan hanya kerana kebimbangan kepada generasi akan datang, saya buat video.

“Bagaimanapun, saya harap peminat sama-sama menilai dan mempertimbangkan adakah benar apa yang saya cakap. Benar terjadi atau tidak itu terpulang kepada masing-masing.

“Semoga dengan pencerahan ini, tidak ada lagi tuduhan yang saya ini memfitnah kerana perkara ini pernah tular sekitar empat atau lima tahun dahulu.

“Sebagai seorang rakyat, (saya) bimbang juga keadaan itu berlaku. Kepada peminat-peminat saya, jangan lupa keluar mengundi pada 19 November nanti dan pastikan undi anda rahsia,” jelasnya.