Saman fitnah: Sultanah Terengganu fail rayuan

Clare Rewcastle Brown (kiri) dan Sultanah Nur Zahirah (kanan)
Clare Rewcastle Brown (kiri) dan Sultanah Nur Zahirah (kanan)
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak saman fitnahnya terhadap pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua yang lain.

Ia berhubung dakwaan fitnah membabitkan Terengganu Investment Authority (TIA) dalam buku The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose.

Menerusi satu kenyataan pada Isnin, peguam Datuk Mohd Haziq Pillay yang mewakili Sultanah Nur Zahirah mengesahkan perkara tersebut.

“Kami telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya terhadap keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee,” katanya.

Pada 31 Oktober lalu, mahkamah memutuskan bahawa tiada tuduhan fitnah daripada kenyataan yang didakwa meskipun jelas terdapat masalah kesilapan identiti.

Pesuruhjaya Kehakiman itu turut memerintahkan kos sebanyak RM80,000 dibayar kepada defendan-defendan iaitu Rewcastle-Brown, penerbit Cheong Ton Sin dan pencetak, Vinlin Press Sdn Bhd.

Pada 21 November 2018, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman RM100 juta, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah.

Baginda turut mendakwa ia mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu serta menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan TIA yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu didakwa membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low menjadi penasihat TIA.

Sultanah Nur Zahirah menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan serta memohon perintah supaya penerbit menarik balik buku itu dan berhenti mencetaknya.

Dalam perbicaraan dari 1 hingga 4 Ogos lalu, seramai lima saksi iaitu tiga saksi plaintif dan dua daripada pihak defendan memberi keterangan di mahkamah.

Selain Mohd Haaziq, Sultanah Nur Zahirah turut diwakili peguam Vishnu Kumar manakala pihak defendan diwakili peguam Americk Sidhu.