Maritim Malaysia pintas bot bawa 14 PATI

Sebuah bot kayu membawa PATI berjaya ditahan di perairan Kuala Selangor selepas didapati cuba keluar secara haram dari negara pada Sabtu.
Sebuah bot kayu membawa PATI berjaya ditahan di perairan Kuala Selangor selepas didapati cuba keluar secara haram dari negara pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Tindakan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba keluar secara haram dari negara ini gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di perairan Kuala Selangor di sini pada Sabtu.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor V Siva Kumar berkata, 14 PATI tersebut termasuk tekong ditahan di kedudukan 2.5 batu nautika barat daya Kuala Selangor, kira-kira jam 3.14 pagi.

Menurutnya, bot yang dinaiki kesemua PATI itu dikesan berdasarkan maklumat yang diterima daripada radar sistem pengawasan laut (SWASLA) Maritim Malaysia Area Control Central (ACC) di perairan Pulau Angsa menuju ke Jeram.

"Bot ronda yang diatur gerak berjaya mengejar bot berkenan dan hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh dua kru warga Indonesia masing- masing berumur 44 dan 55 tahun dari Tanjung Balai.

"Selain itu, pemeriksaan turut mendapati terdapat sembilan penumpang lelaki dan tiga penumpang perempuan berumur lingkungan 23 hingga 46 tahun dan kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan awal dijalankan mendapati bayaran yang dikenakan untuk satu perjalanan ialah RM3,000 seorang.

"Bot dan kesemua pati yang ditahan dibawa ke jeti pasukan polis marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan juga Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan pasport atau dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada setiap penjenayah yang melakukan aktiviti jenayah di sepanjang zon Maritim Malaysia.

"Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan segera," katanya.