PRU15: PN tonjol lima calon muda berkualiti

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) telah membariskan beberapa anak muda berkualiti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana mahu suara golongan tersebut diangkat ke tahap lebih tinggi.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada PRU15 kali ini, PN telah membariskan lima anak muda sebagai calon Parlimen kerana latar belakang dan pengalaman mereka yang luas.

“Pertama, Muhammad Nazrul Hakim Nazir bagi Parlimen Bangi. Menarik anak muda berusia 27 tahun ini telah menghafal 30 juzuk Al-Quran.

“Seawal usia 25 tahun beliau telah pun mendapat kepercayaan Menteri Hal Ehwal Agama di bawah kabinet pimpinan saya iaitu Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Pegawai Khas beliau,” katanya dalam laman Facebooknya, pada Jumaat.

Selain itu, Muhyiddin turut menyenaraikan Nurul Fadzilah Kamaluddin berusia 33 tahun yang akan bertanding di Parlimen Setiawangsa.

Nurul Fadzilah merupakan seorang peguam dan cemerlang dalam pendidikan dari zaman persekolahan hinggalah ke university.

“Beliau merupakan pensyarah sambilan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan juga pengacara TV Alhijrah bagi slot Bicara Fail Syariah. Selain itu beliau seperti saudara (Muhammad) Nazrul tadi telah pun menghafal 30 Juzuk Al-Quran. Sememangnya inilah pakej wanita muda yang harus diketengahkan,” katanya.

Pemimpin muda yang ketiga dicalonkan adalah Lim Si Ching, 30, yang akan berentap di Parlimen Damansara.

Artikel Berkaitan:

Si Ching merupakan graduan Universiti Birmigham City dan sentiasa aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan serta aktif menjadi sukarelawan selain mahir dalam bidang pengurusan dan analisis.

“Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid, 30, bertanding di Parlimen Balik Pulau merupakan bekas Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

“Diharap graduan Sarjana Muda Undang-Undang dari Aberystwyth ini akan meneruskan semangat beliau sebagai aktivis masyarakat dalam menabur bakti kepada penduduk Balik Pulau selepas dipilih sebagai ahli Parlimen,” katanya.

Calon muda yang kelima disenaraikan oleh Muhyiddin adalah Dr Siti Mastura Muhammad, 33, yang akan bertanding di P041 Kepala Batas.

“Pemegang ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Pembangunan Islam di Universiti Sains Malaysia (USM) ini boleh menjadi inspirasi kepada wanita muda,” katanya.

Kata Muhyiddin lagi, selain lima orang ini, PN tampilkan ramai lagi calon anak muda yang berwibawa.

“Apabila melihat wajah anak muda ini hati saya tersentuh. Saya melihat mereka ini bukan dari kaca mata seorang pemimpin sahaja tetapi juga seorang abah yang tersentuh dengan kesungguhan anak-anak yang ingin berbakti kepada masyarakat dan negara,” katanya.