Garnacho pacu kemenangan Manchester United

Alejandro Garnacho
Alejandro Garnacho
A
A
A

BINTANG muda Manchester United, Alejandro Garnacho memacu kemenangan 1-0 pasukannya ketika menewaskan tuan rumah Real Sociedad dalam perlawanan Kumpulan E Liga Europa laman lawan pada Jumaat.

Jaringan sulung pemain Argentina berusia 18 tahun pada minit ke-17 itu juga mengatasi gol George Best sebagai pemain termuda Manchester United menjaringkan gol di Eropah.

Namun tiga mata itu masih gagal membolehkan Manchester United menyisihkan Sociedad yang kekal memimpin kumpulan dengan perbezaan gol, apabila bakal berdepan perlawanan playoff bertemu kelab yang tersingkir dari Liga Juara-Juara dengan Barcelona dan Juventus berpotensi menjadi lawan pada Februari depan.

Gol yang dijanakan arkitek The Red Devils, Cristiano Ronaldo itu berjaya diterjemahkan dalam bentuk jaringan pemain yang memulakan karier remaja bersama Getafe CF dan Atlético Madrid, sebelum menyertai Manchester United.

Manchester United memerlukan satu lagi gol untuk memintas Sociedad dalam kedudukan dengan perbezaan gol, namun bergelut untuk mencipta peluang pada separuh masa kedua.

Untuk rekod, Sociedad mendahului kumpulan dengan 15 mata, sama dengan Manchester United, dibezakan jaringan.

"Dalam bola sepak anda tidak selalunya memperolehi apa yang anda berhak dapat dan itulah realiti bola sepak.

"Ya, kami menang hari ini, tapi tentu sahaja kami kecewa tidak menjaringkan dua gol seperti yang kami perlukan," kata pengendali Manchester United, Erik ten Hag.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sheriff Tiraspol mara ke Liga Konferensi apabila mengakhiri saingan di kedudukan ketiga selepas kemenangan 1-0 ke atas Omonoia Nicosia, di tempat sendiri.