[VIDEO] Anak Najib antara 42 calon DUN BN Pahang

Mohd Nizar akan bertanding di kerusi DUN Peramu Jaya.
Mohd Nizar akan bertanding di kerusi DUN Peramu Jaya.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara 42 calon BN Pahang yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Datuk Mohd Nizar Najib telah diputuskan bertanding di kerusi DUN Peramu Jaya menggantikan penyandang, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali yang dipertaruhkan di Parlimen Pekan.

Menurutnya, calon bagi dua kerusi DUN masing-masing di Cheka dan Sabai tidak diumumkan.

"Secara keseluruhannya, BN Pahang mempertaruhkan 63 peratus muka baharu pada PRU15 bagi semua kerusi Parlimen dan DUN dengan menampilkan lapan muka baharu daripada 14 kerusi Parlimen.

"Bagi DUN, sebanyak 42 kerusi akan dipertandingkan dengan menampilkan 27 muka baharu. Daripada jumlah itu, sebanyak 34 kerusi ditandingi UMNO dan enam MCA bagi kerusi DUN, manakala 11 kerusi UMNO dan tiga kerusi MCA di Parlimen," katanya ketika majlis pengumuman senarai calon BN bagi DUN dan Parlimen Pahang di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Hadir sama, Perdana Menteri yang juga calon Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Wan Rosdy berkata, kombinasi itu merupakan ramuan yang strategik bagi memastikan kesinambungan inisiatif yang telah dirancang serta percambahan idea segar dan baharu.

Dalam pada itu, Wan Rosdy yang mempertahankan kerusi DUN Jelai berkata, sebanyak 30 peratus adalah calon muda berumur di bawah 45 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kerusi Parlimen, dua calon manakala bagi kerusi DUN seramai 15 calon atau 36 peratus mereka di bawah usia 45 tahun.

"Kita yakin, ini adalah satu pengiktirafan oleh BN kepada anak muda untuk terlibat sekali gus menyumbang secara langsung kepada pentadbiran Pahang dan masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata, terdapat lapan muka calon wanita telah ditampilkan iaitu DUN Tahan, Faezah Ishak, DUN Panching (Fauziah Abd Wahab), DUN Jengka (Nor Hasmi Abdul Ghani), DUN Bilut (Wong Siew Mun), DUN Guai (Datuk Sabariah Saidin), DUN Bukit Iban (Samsiah Arshad), DUN Teruntum (Tee Choon Ser) dan Parlimen Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

"Ini merupakan resipi tradisi dan kepercayaan BN bahawa kaum hawa kita adalah kelompok yang berbakat, terbukti dan teruji berupaya memberikan yang terbaik untuk negara dan negeri," katanya.

Bagi calon BN di 14 Parlimen Pahang, Datuk Ramli Mohd Noor akan bertanding di Cameron Highlands, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Hasan Ariffin (Rompin), Datuk Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar) dan Datuk Seri Ismail Mohamed Said di Kuala Krau.

Kerusi Parlimen Pekan pula ditandingi Sh Mohamed Puzi, Datuk Seri Abdul Hamid Nazahar (Kuantan) dan Datuk Mohd Zukarmi Abu Bakar di Jerantut.

Pengumuman juga menyaksikan dua Exco kerajaan negeri iaitu Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Datuk Seri Shahaniza Shamsudin masing-masing dipertaruhkan untuk bertanding di Temerloh dan Maran.

MCA pula mendapat tiga kerusi Parlimen iaitu Bentong yang bakal ditandingi oleh Tan Sri Liow Tiong Lai, manakala kerusi Indera Mahkota akan ditandingi pegawai khas Presiden MCA, Datuk Quek Tai Seong dan Raub pula Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon.

Pada PRU14, BN Pahang memenangi sembilan daripada 14 Parlimen, 25 daripada 42 kerusi DUN.