Sarawak, Melaka United gagal beraksi di Liga Super 2023

Stuart Ramalingam -Foto: Agensi
Stuart Ramalingam -Foto: Agensi
A
A
A

HASRAT penyokong Sarawak United FC (SUFC) dan Melaka United untuk melihat pasukan kesayangan beraksi dalam kancah Liga Super musim depan tidak kesampaian

Ia selepas Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) pada Selasa menolak rayuan kedua-dua kelab itu untuk memohon Lesen Kebangsaan.

Pengumuman itu diumumkan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam yang memberitahu AB menolak permohonan Lesen Kebangsaan pada 12 Oktober lalu selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2022.

“Bagi pihak AB yang telah bermesyuarat dan telah keluar keputusan bahawa rayuan kedua-dua kelab Melaka dan juga Sarawak United untuk permohonan lesen kebangsaan tahun 2023 telah ditolak

“Dengan itu keputusan yang saya umumkan hari ini bagi pihak AB untuk beritahu semua tahun depan pasukan Melaka dan Sarawak tiada mempunyai lesen untuk bertanding Liga Super 2023.

“Tahun depan SUFC dan Melaka United tidak mempunyai lesen untuk beraksi di Liga Super 2023. Kita berkomunikasi dengan dua kelab terbabit hari ini namun keputusan sudah pun dibuat.

“Sekarang ini, kita akan menetapkan pasukan bertanding kepada 16 pasukan. Sejajar dengan peraturan yang ditetapkan MFL, dua pasukan ini tidak boleh lagi beraksi di Liga Super,” katanya pada sidang akhbar di pejabat MFL pada Isnin.

Untuk rekod, SUFC dan Melaka United gagal memperoleh lesen kebangsaan untuk musim depan kerana tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022 sekali gus tidak layak untuk bertanding di pentas Liga Super 2023.

Artikel Berkaitan:

SUFC didapati gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di mana keputusan dibuat oleh DRC FIFA terhadap bekas pemainnya iaitu Sandro Da Silva dan Taylor Regan.

Melaka United didapati tidak mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.

Selain itu, SUFC dan Melaka United bukanlah pasukan yang pertama tersingkir daripada Liga Super apabila sebelum ini Felda United dan UKM FC turut menerima nasib sama pada 2020.

Kedua-dua pasukan itu didapati gagal memenuhi syarat lesen kebangsaan dan penswastaan yang dikuatkuasakan bermula 2018.