Annuar tidak akan merayu jika nama tidak tercalon

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sama sekali tidak akan merayu termasuklah melobi jika nama gagal tersenarai sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tanpa berselindung, Annuar akan terus kekal dengan prinsipnya sejak dulu lagi iaitu seseorang calon tidak boleh meminta-minta.

"Perihal berkait dengan calon bukanlah perkara yang harus atau boleh diminta-minta serta lobi," katanya semasa sidang akhbar di sini pada Selasa.

Sebaliknya, beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan dan parti untuk membuat keputusan mengenai siapa yang layak.

Dalam perkembangan lain, Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh mengesahkan Ketua Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin ditawarkan untuk menjadi calon di Parlimen Ketereh.

Katanya, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Marzuani Ardila yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Ketereh.

Pada PRU14, Annuar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh dengan meraih majoriti 4,626 undi menewaskan calon Pas, Wan Ismail Wan Jusoh dan calon PKR, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Annuar memperoleh undian sebanyak 25,467, Pas (20,841) dan PKR (6,799).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Annuar juga memberi bayangan sedang membuat rundingan untuk bertanding parti lain jika tidak dicalonkan oleh BN pada PRU15.

Menurutnya, andai beliau tidak dipilih dan perlu bertanding parti lain ramai pihak yang perlu dirujuk sebelum keputusan tersebut dibuat.

"Saya kena tanya bahagian apa yang perlu dilakukan jika tidak jadi calon, kerana sekarang ini ada lebih 4,000 jentera sedang bekerja.

"Rundingan sedang dibuat dengan jiwa yang tenang, tidak terburu-buru dan saya tidak boleh marah," katanya.

Annuar berkata, beliau perlu merujuk pemimpin masyarakat, rakyat yang bersamanya, imam-iman kerana pandangan mereka akan memutuskan apa yang akan dipilih olehnya.

Tambah Annuar, beliau mempunyai ramai kawan dalam kalangan penyokong dan pemimpin Pas.

Katanya, banyak pilihan yang boleh dibuat kerana senario politik sekarang sudah berubah.

"Pas kerajaan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerajaan. Kalau dulu keluar parti dari kerajaan masuk pembangkang dan sebalik.

"Sekarang ini kalau tidak duduk parti kerajaan, di luar ada parti lain, kerajaan juga," katanya.

Annuar berkata demikian ketika menjawab persoalan media berkenaan khabar angin beliau akan bertanding atas kerusi parti lain jika namanya tidak dicalonkan oleh BN pada PRU15 ini.