Pas mahu terus kempen di Parlimen Tangga Batu

Mohd Rajab
Mohd Rajab
A
A
A

MELAKA - Pas Cawangan Tangga Batu yakin tindakan bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen keluar parti tidak akan menjejaskan usaha berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Cawangan Pas Tanjung Gelam, Mohd Rajab Akmal berkata, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu sewajarnya mengutamakan perjuangan Perikatan Nasional (PN) yang begitu bersungguh-sungguh untuk memenangi kerusi Parlimen pada pilihan raya nanti.

Menurutnya, apa yang berlaku sebagai cabaran dalam gabungan itu dan tidak akan memberi kesan kepada keyakinan pengundi terhadap mereka, malah akan terus memberi sokongan kepada calon Bersatu dan juga Gerakan.

"Mungkin kesannya sekadar calar di tangan, tidak sampai luka dalam, sekadar bertanda pada kulit namun tidak sehingga menggugat kestabilan parti," katanya pada sidang akhbar di Tanjung Kling di sini pada Isnin.

Jelasnya, meskipun saat ini PN Melaka diuji dengan tindakan individu keluar parti, namun pihaknya memberi jaminan bahawa Pas kawasan itu akan terus berganding bahu dengan Bersatu dalam misi yang dibawa kepimpinan pusat.

"Di bawah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang iaitu misi penyatuan ummah, jadi tak timbul kita nak boikot calon Bersatu," ujarnya.

Beliau berharap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu juga merapatkan saf dan menolak sikap memboikot calon PN terutama calon Pas yang bertanding di Parlimen Tangga Batu.

"Tindakan memboikot sebenarnya tidak menggambarkan semangat setiakawan dalam gabungan PN," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Mohd Rafiq meletakkan semua jawatannya dalam Bersatu dan keluar dari parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, tindakan itu diambil selepas beliau tidak dipilih sebagai calon PN bagi Parlimen Tangga Batu walaupun telah enam tahun berkhidmat di kawasan itu sejak 2016.