Bekas Presiden pernah dijel rasuah menang pilihan raya Brazil

Lula da Silva (tengah) berucap selepas menang pilihan raya presiden di Sao Paulo, Brazil pada Ahad. - Foto EPA
Lula da Silva (tengah) berucap selepas menang pilihan raya presiden di Sao Paulo, Brazil pada Ahad. - Foto EPA
A
A
A

SAO PAULO - Bekas Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dipilih semula bagi memimpin Brazil selepas memenangi pilihan raya bagi merebut jawatan itu pada Ahad.

Beliau kemudian menggesa keamanan dan perpaduan selepas menang tipis dalam pilihan raya tersebut sekali gus menamatkan kebangkitan politik yang luar biasa dengan mengalahkan penyandangnya, Jair Bolsonaro yang masih belum dapat menerima kekalahan.

Lula yang meninggalkan jawatan itu pada tahun 2010 sebagai Presiden paling popular dalam sejarah Brazil pernah dipenjarakan selama 18 bulan atas tuduhan rasuah yang kontroversi.

Pada Mac tahun lalu, seorang hakim Mahkamah Agung di Brazil telah membatalkan sabitan rasuah terhadai Lula.

Beliau disabitkan kesalahan berikutan siasatan terhadap skandal rasuah besar yang digelar sebagai Operasi Cuci Kereta.

Namun, Hakim Mahkamah Agung Edson Fachin berkata, mahkamah yang telah mendapati Lula bersalah sebenarnya tidak mempunyai bidang kuasa yang diperlukan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau kini kembali untuk penggal ketiga pada usia 77 tahun.

"Negara ini memerlukan keamanan dan perpaduan. Rakyat Brazil tidak mahu berperang lagi," kata Lula dengan sorakan lantang dalam ucapan kemenangan di Sao Paulo yang mana penyokong gembira berpakaian Parti Pekerja yang berwarna merah seperti dilaporkan AFP.

Artikel Berkaitan:

Semua pihak kini akan tertumpu kepada bagaimana Bolsonaro dan penyokongnya bertindak balas terhadap keputusan itu selepas berbulan-bulan mendakwa tanpa bukti bahawa sistem pengundian elektronik Brazil dibelenggu oleh penipuan.

Beliau juga mendakwa mahkamah, media dan institusi lain telah berkomplot menentangnya.

Bolsonaro, 67, berdiam diri beberapa jam selepas keputusan diumumkan.

Pegawai pilihan raya mengisytiharkan kemenangan untuk Lula yang mendapat sebanyak 50.9 peratus undi berbanding 49.1 peratus undi untuk Bolsonaro. - Agensi