Penyu 'lemaskan' Tok Gajah di Kuantan

Kpah Sherman antara watak penting dalam memastikan TFC mencatat kemenangan bergaya ke atas Sri Pahang dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Kuantan. - Foto Sri Pahang
Kpah Sherman antara watak penting dalam memastikan TFC mencatat kemenangan bergaya ke atas Sri Pahang dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Kuantan. - Foto Sri Pahang
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SRI PAHANG FC terpaksa akur dengan kekalahan di gelanggang sendiri apabila ditundukkan Terengganu FC (TFC) dengan jaringan 5-1 pada perlawanan pertama saingan pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur di Kuantan pada Khamis.

Tuan rumah dikejutkan dengan gol TFC hasil jaringan Kpah Sherman seawal minit pertama dan Nik Shariff Haseefy dua minit kemudian.

Ketinggalan dua gol dalam tempoh kurang lima minit Sri Pahang FC cuba bangkit dan berjaya merapatkan jurang gol hasil jaringan penyerang berbisanya, Steven Rodriguez yang menyudahkan hantaran Nor Azam Azih pada minit ke-42.

Keputusan 2-1 itu kekal hingga minit akhir separuh masa pertama.

Usaha Pahang untuk menambah gol pada saingan separuh masa kedua berjaya disekat pelawat yang menguasai perlawanan dengan aksi mantap pemainnya.

Penjaga gol Pahang kelahiran Mali, Mamadou Samassa terus diuji pada minit ke-49 apabila gagal mengawal gawang sekaligus memberi peluang kepada TFC menambah gol hasil jaringan, Faisal Halim.

Pemain Sri Pahang semakin tertekan apabila Kpah Sherman mencipta hatrik hasil jaringan pada minit ke-51 dan 90 meletakkan TFC selesa di depan dengan keputusan 5-1 sehingga tamat perlawanan.

Perlawanan yang berlangsung dalam cuaca hujan menyaksikan beberapa kekasaran memaksa dua kad kuning dikeluarkan pengadil perlawanan, Mohd Amirul Izwan Yaacob.

Artikel Berkaitan: