BN Selangor tidak tergugat calon PH

Tidak ketandusan calon malah akan mengetengahkan calon boleh menang di kerusi Parlimen di negeri ini.

Noh (kiri) menziarahi pesakit semasa melakukan lawatan ke Hospital Tanjong Karang pada Khamis.
Noh (kiri) menziarahi pesakit semasa melakukan lawatan ke Hospital Tanjong Karang pada Khamis.
A
A
A

TANJONG KARANG - BN Selangor tidak tergugat dengan calon berprofil tinggi pelbagai latar belakang diumumkan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, soal siapa calon yang dipertaruhkan parti lawan terpulang kepada strategi masing-masing.

Menurut beliau, BN juga tidak ketandusan calon malah akan mengetengahkan calon boleh menang di kerusi Parlimen di negeri ini.

"Kita akan menampilkan calon muda dan yang boleh menang dengan ciri-ciri 'WALI' iaitu memenangi (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable) yang berkaliber dan berdaya," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Hospital Tanjong Karang pada Khamis.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, paling penting calon diketengahkan BN khususnya UMNO terdiri dalam kalangan anak tempatan.

"BN memilih calon boleh menang kerana saya masih ingat pada pilihan raya sebelum ini pihak parti lawan meletakkan pensyarah bertanding di Sabak Bernam pernah tewas juga dengan calon BN.

"Calon bekerjaya seperTi doktor dan peguam ditampilkan pembangkang juga pernah kalah kerana bagi BN kita mengetengahkan calon yang boleh memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

"Kalau profesional sekalipun, jika masalah rakyat tak faham, macam mana hendak berkhidmat? Bagi saya wakil rakyat kena tahu kawasan terutama bagi calon luar," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai tarikh pengumuman calon BN, Noh memberitahu, perkara itu dijangka diumumkan dalam minggu ini.

"Saya ramal dalam minggu ini kerana biasanya tiga atau empat hari sebelum penamaan calon.

"Sebelum pemberian watikah calon, pucuk pimpinan mengambil sedikit masa untuk menilai sama ada calon terbabit ada kes polis, kebankrapan atau kes lain," ujarnya

Katanya, senarai calon di setiap Parlimen di Selangor sudah dibincangkan bersama dengan pucuk pimpinan tertinggi parti, namun masih menunggu keputusan muktamad.

"Apabila nama calon dimuktamadkan pucuk pimpinan, maka senarai itu akan diserahkan kepada pengerusi perhubungan dan saya di Selangor akan membuat majlis penyampaian watikah yang tarikhnya sedang menunggu daripada pucuk pimpinan," jelas beliau.

Pada Rabu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan tujuh calon baharu daripada pelbagai bidang disiplin dan pengalaman untuk bertanding dalam PRU15.

Calon itu antaranya ilmuwan agama, Nik Omar Nik Abdul Aziz; Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan Yusop.

Selain itu, DAP mempertaruhkan Gobind Singh Deo bagi kerusi Parlimen Damansara, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusatnya, Syahredzan Johan di Parlimen Bangi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V. Ganabatirau di Parlimen Klang.