PN pertaruh Radzi di Putrajaya

Muhyiddin mengumumkan Mohd Radzi calon PN di P125 Parlimen Putrajaya. -Foto RAFEQ REDZUAN
Muhyiddin mengumumkan Mohd Radzi calon PN di P125 Parlimen Putrajaya. -Foto RAFEQ REDZUAN
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin di P125 Parlimen Putrajaya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Jelajah Prihatin, di sini pada Rabu.

"Calon yang kita nak letakkan di Putrajaya tidak lain dan tidak bukan Datuk Dr Radzi Jidin. Jangan nak ragu-ragu. Ini calon kita," katanya.

Pada PRU14, Mohd Radzi bertanding di kerusi P026 Parlimen Ketereh namun tewas kepada Tan Sri Annuar Musa.

Parlimen Putrajaya pula disandang oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selama empat penggal berturut-turut sejak 2013.

Pada majlis yang turut dihadiri oleh Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, Muhyiddin meminta Tengku Adnan berundur daripada mempertahankan Parlimen Putrajaya.

“Saya tak tahu siapa nak lawan, lawanlah. Saya nak beri nasihat sikit kepada kawan saya Ku Nan.

"Ku Nan telah sudah buat baik untuk Putrajaya, tapi cukuplah. Ini masa untuk tukar, tukar di bawah Dr Radzi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut mengumumkan slogan PN iaitu Prihatin, Bersih dan Stabil dengan laungan PN Best.

“Ini tagline yang kita akan laungkan pada PRU15 dan PN Best adalah harapan kita,” katanya.

PN dianggotai Bersatu, Pas, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Sementara itu, dalam ucapannya Muhyiddin berkata, beliau tidak boleh berada bersama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh yang lama.

"Sewaktu saya Menteri Dalam Negeri, ada seorang menteri menunggu saya tiada di dalam mesyuarat kabinet untuk bawa benda baru.

Dia takut kalau saya ada bersama, mungkin saya akan tentang...Isu berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), mahu tukar Akta Hasutan 1948 macam-macam," katanya.


Ada wakil negeri tawar sokongan pada PN

Sementara itu, Muhyiddin turut mendedahkan terdapat wakil negeri hadir bertemunya untuk menawarkan sokongan kepada gabungan itu bagi memperoleh kemenangan pada PRU15.

Menurutnya, kehadiran wakil itu memberi kelegaan dalam menghadapi PRU15.

"Tadi ada datang seorang wakil daripada sebuah negeri, saya tidak usah sebut di sini yang menyatakan komitmen untuk membantu dan menyokong kita bentuk kerajaan," katanya.

Beliau berkata, sokongan itu hadir sekiranya PN memenangi sejumlah kerusi yang terbesar berbanding PH dan BN.

"Maka akan berlaku satu gelombang besar menolak BN pada pasca PRU15 kelak.

Kalau ada gelombang dalam sehari dua minggu ini, gelombang di mana BN akan kalah teruk

"Ini boleh bersihkan negara dari sampah politik kerana dibawa oleh BN dengan amalan rasuah, jangan kita terima lagi, bersihkan Putrajaya," katanya.