Helikopter terhempas, Pusat Kawalan Operasi Kecemasan diaktifkan

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pusat Kawalan Operasi Kecemasan (EOC) Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautial (ARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di Sepang diaktifkan segera susulan sebuah helikopter dilaporkan terhempas berhampiran Tanah Rata, Cameron Highlands.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo dalam kenyataannya pada Rabu memaklumkan, pengaktifan itu dibuat pada jam 1.11 petang.

"Unit mencari dan menyelamat pertama melalui jalan darat telah digerakkan ke lokasi kejadian 19 minit kemudian dan usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan," katanya.

Menurutnya, CAAM menerima maklumat berhubung insiden yang melibatkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW jam 1.03 petang.

Helikopter berkenaan yang dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn Bhd berlepas dari Kampung Gawin ke Tanjung Rambutan, Perak jam 12.20 petang membawa seorang juruterbang dan lima penumpang," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kemalangan itu akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Artikel Berkaitan:

Laporan awal media menyebut helikopter tersebut membawa pegawai perubatan dalam perjalanan pulang ke Ipoh, Perak.

Nasib kesemua penumpang dan juruterbang masih belum diketahui dan operasi sedang digerakkan oleh pihak berkuasa.