ATC 2022: Hakim Danish tahan sakit demi Malaysia

Hakim Danish. - Foto Asia Talent Cup
Hakim Danish. - Foto Asia Talent Cup
A
A
A

PELUMBA muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli mengungguli perlumbaan kedua pusingan kelima Kejuaraan Asia Talent Cup (ATC) 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Ahad.

Setelah gagal menamatkan perlumbaan pertama apabila terjatuh pada Sabtu, Muhammad Hakim bangkit menahan kesakitan dengan mempamerkan tunggangan hebat untuk meraih kedudukan teratas podium di laman sendiri selepas mencatat masa 33 minit 17.911 saat (s).

Tempat kedua disambar pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama yang ketinggalan 0.047s manakala Shinya Ezawa dari Jepun ketiga selepas merekodkan 33:19.250s.

"Hari ini saya cuba untuk berlumba dan buang rasa sakit kaki (kiri) saya...saya cuba untuk berada dalam kelompok depan sejak awal perlumbaan.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana (perasaan) tetapi saya teruja sangat (kemenangan) sebab ini adalah perlumbaan pertama saya di Malaysia dalam ATC. Terima kasih semua datang sokong," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Pelumba Terengganu berusia 15 tahun itu mendahului senarai kedudukan pelumba menjelang pusingan terakhir di Mandalika International Street Circuit di Lombok, Indonesia, bulan depan.

Muhammad Hakim mengumpul 151 mata di kedudukan teratas, diikuti pencabar terdekat Ezawa (148 mata) dan Gun Mie dari Jepun ketiga dengan mengutip 116 mata. - Bernama

Artikel Berkaitan: