Skuad berbasikal para negara tambah koleksi pingat

Mohamad Yusof Hafizi
Mohamad Yusof Hafizi
A
A
A

SKUAD berbasikal para negara terus menggegar bumi Perancis apabila meraih satu lagi pingat pada hari kedua Kejohanan Trek Para Dunia 2022 di Saint-Quetin-en-Yvlines awal pagi Sabtu.

Kali ini giliran Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menyumbang pingat apabila dia menyambar kilauan gangsa menerusi acara ujian masa 1,000 meter (m) C1.

Mohamad Yusof Hafizi, 25, mencatatkan masa 1 minit 14.860 saat (s) - ketinggalan di belakang Sam Ruddock dari Great Britain yang muncul juara (1:13.089s), manakala pelumba Sepanyol, Ricardo Ten Argiles (1:14.622s) berada di tempat kedua.

Ia merupakan pingat kedua dimenangi Mohamad Yusof Hafizi selepas dia meraih gangsa menerusi acara scratch pada Kejohanan Trek Para Dunia di Kanada pada 2020.

Pada pusingan kelayakan, Mohamad Yusof Hafizi menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan catatan 1:15.669s, sekali gus memecahkan rekod peribadinya sendiri.

Mohamad Yusof Hafizi masih lagi mempunyai peluang untuk menambah kilauan pingat kerana masih mempunyai tiga lagi acara iaitu 3,000m individu kejar-mengejar, omnium dan pecut berpasukan campuran.

Pada awal pagi Jumaat, kuartet negara, Mohd Khairul Hazwan Wahab, Muhammad Khairul Adha Rasol, Nor Suraiya Muhamad Zamri dan Farina Shawati Mohd Adnan meraih perak acara 750m tandem pecut berpasukan.

Artikel Berkaitan: