Lima tokan dadah ditahan, RM61,104 dadah dirampas

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A
JOHOR BAHRU - Polis menahan lima lelaki tempatan dan merampas 4.56 kilogram dadah bernilai RM61,104 selepas melakukan lima serbuan berasingan sekitar Pontian pada Rabu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pasukan tindakan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Johor melakukan serbuan pada jam 1 petang hingga 7 petang.

Menurutnya, menerusi serbuan tersebut lima lelaki berusia 18 hingga 36 tahun ditahan bersama-sama sejumlah rampasan dadah.

"Polis merampas 4.56 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM61,104 dan dadah tersebut boleh digunakan 22,800 penagih.



"Polis turut menyita dua buah motosikal bernilai RM13,500. Keseluruhan rampasan dan sitaan dalam operasi khas ini berjumlah RM74,604," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, ujian air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Jelasnya, modus operandi pengedaran dadah ialah suspek menjadi orang tengah mendapatkan bekalan daripada pembekal dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.

Tambah Kamarul Zaman, kegiatan pengedaran dadah berkenaan dipercayai sudah aktif sejak September lalu.

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis sehingga 26 Oktober ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Jika sabit kesalahan katanya, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, beliau memberitahu, sejak 1 Januari lalu hingga Rabu JSJN Johor berjaya membuat tangkapan 11,745 individu atas pelbagai kesalahan dadah.

"Dalam tempoh yang sama JSJN Johor berjaya berjaya membuat rampasan dadah sebanyak 2.95 tan dengan keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM12.54 juta, selain harta berjumlah RM7.51 juta turut disita," katanya.

Beliau berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan pengedaran dadah di kawasan mereka, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian hotline JSJN 012-2087222.