Wang palsu dolar AS, dadah bernilai lebih RM120,000 dirampas

Muhamad Zaki (tiga dari kiri) melihat dolar AS palsu yang ditemukan dalam serbuan dadah di Pasir Mas.
Muhamad Zaki (tiga dari kiri) melihat dolar AS palsu yang ditemukan dalam serbuan dadah di Pasir Mas.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan menjumpai wang kertas palsu dolar Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$10,000 (RM47,200) ketika melakukan serbuan berkaitan dadah di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sakar, Tendong di Pasir Mas, kira-kira jam 7.31 pagi Selasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, seorang lelaki yang juga penganggur berusia 22 tahun dipercayai pusher dadah ditahan dalam serbuan yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7.

“Menyedari kehadiran polis, suspek yang berada di hadapan rumah itu tiba-tiba membaling satu bungkusan plastik.

“Pemeriksaan dalam plastik itu menemukan wang tunai AS$10,000, RM6,617 dan 4,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM40,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, pada Rabu.

Dadah yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan di tiga daerah di Kelantan.
Dadah yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan di tiga daerah di Kelantan.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati wang dolar AS itu palsu dan motif pemilikan wang tersebut masih dalam siasatan.

Sementara itu, dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Tebing, Pengkalan Kubor, Tumpat, pada hari sama, polis berjaya merampas 503 gram (g) ganja, 100g heroin, 450 pil psikotropik dan dua biji kuda keseluruhannya dianggarkan bernilai RM69,750.

“Seorang peniaga lelaki berusia 25 tahun yang juga dipercayai pusher dadah ditahan. Turut ditemui wang tunai 4,800 bath (RM595.05) dan RM959.

Artikel Berkaitan:

“Dalam satu lagi serbuan pada hari sama di tepi jalan di Felda Kemahang Dua, Tanah Merah, polis menahan seorang penganggur berusia 41 tahun juga dipercayai pusher dadah dan merampas 500 biji pul kuda, 20.2g heroin dianggarkan bernilai RM15,000,” katanya.

Wang tunai yang dirampas dalam tiga serbuan dilakukan di tiga daerah di Kelantan.
Wang tunai yang dirampas dalam tiga serbuan dilakukan di tiga daerah di Kelantan.

Menurut beliau, ujian air kencing dua suspek terbabit didapati positif selain mempunyai antara satu hingga lapan rekod lampau berkaitan kes dadah serta jenayah.

Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM124,750 dan boleh digunakan 6,657 orang penagih dadah jika terlepas ke pasaran.

“Polis turut menyita pelbagai harta berjumlah RM20,171.05. Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.