JPJ kutip RM3.26 juta bidaan plat 'DEN'

Mohd Misuari - Foto Bernama
Mohd Misuari - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengutip hasil bidaan sebanyak RM3.26 juta bagi nombor pendaftaran siri 'DEN' dalam tempoh lima hari.

Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, bidaan yang dibuka melalui sistem JPJeBID bermula 13 Oktober lalu itu melangkaui sasaran iaitu RM2.6 juta.

"Jumlah harga bidaan tertinggi ialah RM98,888 untuk DEN 8 diikuti DEN 6 dengan nilai RM71,000," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Beliau memberitahu, nombor paling banyak dibida ialah DEL 5 manakala jumlah keseluruhan pembida yang melayari sistem JPJeBID ialah 4,473.

Mohd Misuari berkata, selain itu lima nombor paling banyak dibida ialah DEN 1305, DEN 805, DEN 50, DEN 23 dan DEN 8055, melibatkan antara 16 hingga 20 pembida.

Tambah beliau, nombor pendaftaran yang berjaya dibida perlu didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran yang dikeluarkan JPJ negeri atau cawangan.

Beliau turut memaklumkan, baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada orang awam mengikut harga minimum ditetapkan.

Katanya, mereka yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran itu boleh berurusan di Pejabat JPJ negeri atau cawangan.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang tempoh pelaksanaan sistem JPJeBID diperkenalkan bermula siri DDP hingga DEM, jumlah kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Kelantan ialah sebanyak RM40.1 juta.