Ribuan pekerja kilang berhimpun tuntut kenaikan gaji

Sejumlah pekerja berarak bagi menuntut kenaikan gaji di Toulouse, Perancis pada Selasa. - Foto AFP
Sejumlah pekerja berarak bagi menuntut kenaikan gaji di Toulouse, Perancis pada Selasa. - Foto AFP
A
A
A

PARIS - Sejumlah pekerja yang mogok mengadakan perhimpunan di seluruh Perancis pada Selasa untuk menuntut gaji yang lebih tinggi sebagai tindak balas terhadap inflasi yang melambung tinggi.

Tindakan itu menyebabkan operasi stesen-stesen minyak terjejas sekali gus memberi kesan terhadap berjuta-juta pemandu kenderaan.

Mogok itu menyebabkan gangguan pengangkutan walaupun kesatuan sekerja telah berikrar akan melakukan tindakan lanjut terhadap Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

"Adalah memalukan ia (tuntutan kenaikan gaj) terpaksa dilakukan sehingga (ke tahap mengadakan) sekatan (mogok)," kata seorang pekerja berusia 45 tahun dikenali sebagai Nadine.

Dia bekerja dalam industri kerja logam merupakan antara lebih 1,000 penunjuk perasaan di Strasbourg, timur laut Perancis.

"Namun, jika kita tidak menyekat apa-apa, tiada siapa yang akan mendengar," katanya seperti dilaporkan AFP.

Kira-kira 1,800 orang lagi yang berarak di bandar selatan Montpellier, Magali Mallet.

Kementerian Dalam Negeri berkata, seramai 107,000 orang mengambil bahagian dalam perarakan di seluruh negara termasuk 13,000 orang di Paris.

Artikel Berkaitan:

Penunjuk-penunjuk perasaan antikapitalis turut menyertai demonstrasi di ibu negara dengan sebahagiannya memecahkan tingkap di sebuah bank dan sebuah pengedar kenderaan BMW sebelum polis bertindak mengawal rusuhan.

Kementerian itu berkata, seramai 11 orang telah ditangkap di Paris dan sembilan pegawai cedera dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan dengan empat tangkapan dilakukan di tempat lain. - Agensi