Bakar kereta abang kerana isu harta

Mangsa alami kerugian dianggarkan sekitar RM5,000 akibat kebakaran itu dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Sri Watan, Ampang pada Jumaat. - Foto PDRM
Mangsa alami kerugian dianggarkan sekitar RM5,000 akibat kebakaran itu dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Sri Watan, Ampang pada Jumaat. - Foto PDRM
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki tergamak membakar kereta milik abangnya dipercayai berpunca daripada masalah harta keluarga dalam kejadian di sebuah rumah Taman Sri Watan, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak bomba berhubung kebakaran sebuah kereta jenis Toyota Vios pada jam 6.19 petang.

"Siasatan lanjut dapati terdapat kesan kebakaran pada sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dibahagian sebelah kiri dan kanan badan kenderaan serta bahagian enjin turut alami kesan kebakaran.

"Turut dijumpai satu tong warna biru disyaki berkesan minyak dipercayai digunakan oleh suspek sewaktu kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Farouk berkata, polis telah menahan seorang pemandu lori yang merupakan lelaki tempatan berusia 32 tahun di Lorong Ikan Emas 14, Ampang Campuran di sini pada Sabtu.

Katanya, siasatan awal mendapati perselisihan berkenaan berpunca daripada perebutan harta keluarga antara suspek dan mangsa yang merupakan abangya.

"Mangsa seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun yang juga bekerja sebagai pemandu lori mengalami kerugian dianggarkan lebih kurang RM5,000," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan ujian urin didapati negatif.

Artikel Berkaitan:

"Suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun," ujar beliau.