Rancang singkir Liz Truss?

Truss dikhuatiri bakal menerima nasib sama seperti pendahulunya, Boris Johnson. - Foto Agensi
Truss dikhuatiri bakal menerima nasib sama seperti pendahulunya, Boris Johnson. - Foto Agensi
A
A
A

LONDON - Perdana Menteri Britain, Liz Truss berdepan 'konflik dalaman' selepas beberapa anggota Parti Konservatif sedang mempertimbangkan untuk menyingkirkan beliau.

"Terdapat juga anggota Konservatif yang mahu mencari pengganti Menteri Kewangan, Kwasi Kwarteng," kata anggota terkenal parti pemerintah itu, Paul Goodman kepada BBC.

Editor blog berpengaruh, ConservativeHome itu mendakwa ada beberapa nama telah dicalonkan untuk mengambil alih jawatan Truss yang baharu berkhidmat pada bulan lalu.

"Antara nama yang dicadangkan ialah pendahulunya, Boris Johnson dan bekas pesaing utamanya, Rishi Sunak serta Penny Mordaunt yang tersingkir pada pusingan awal," ujarnya lagi.

Goodman mendakwa sejumlah anggota Konservatif menuntut kerajaan membuat 'pusingan U' terhadap dasar pemotongan cukai yang dicadangkan Truss.

"Saya tidak pasti jika mereka adalah suara majoriti. Tetapi, kita akan melihat kerajaan bakal berdepan kesukaran untuk melaksanakan dasar tersebut," jelasnya.

Kredibiliti Truss kini dipertikai anggota Konservatif selepas beliau tampil di Parlimen buat pertama kali sejak pengumuman bajet mini kontroversi pada 23 September lalu yang turut menyaksikan kejatuhan nilai pound.

Truss turut menolak desakan anggota pembangkang untuk mengadakan pilihan raya awal selepas pelan ekonomi beliau mencetuskan kekacauan kepada pasaran.

"Perkara terakhir yang kita perlukan ialah Pilihan Raya Umum," katanya yang kini berdepan 'gelombang penentangan' dalam parti sendiri. - AFP