Selesai isu generasi muda tidak minat sambung belajar

Gambar hiasan. (Gambar dalam : Syafariza)
Gambar hiasan. (Gambar dalam : Syafariza)
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak termasuk kerajaan digesa mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung dilema pelajar tidak berminat menyambung pengajian setelah tamat sesi persekolahan.

Ketua Penerangan Pejuanita Muda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Syafariza Jamal berkata, statistik daripada Jabatan Perangkaan pada 31 Julai lalu menunjukkan seramai 70 peratus atau 390,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pengajian Malaysia (STPM) tidak berminat untuk menyambung pelajaran.

Menurutnya, kaji selidik tersebut dibuat ketika negara terjejas teruk dari segi ekonomi sewaktu pandemik Covid-19.

Katanya, pelbagai kekangan diri dan masalah keluarga yang dihadapi menyebabkan generasi muda hilang minat untuk meneruskan pengajian di peringkat tinggi.

"Kekangan kewangan dihadapi keluarga, kerisauan ketiadaan peluang pekerjaan selepas pengajian, mentaliti pendidikan tidak menjamin masa depan dan gaji tidak setimpal dengan masa serta kelayakan merupakan antara punca utama generasi muda tidak mahu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Melihat situasi membimbangkan ini, sudah tiba masanya pihak kerajaan melalui agensi-agensi dan kementerian terbabit untuk lebih agresif mencari jalan penyelesaian membantu generasi ini agar lebih yakin dalam membuat keputusan untuk menyambung pengajian setelah tamat sesi persekolahan," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Untuk itu Syafariza berkata, pihak terlibat perlu memperbanyakkan program bersifat praktikal dan mempunyai nilai tambah kepada peluang pekerjaan sedia ada.

Jelasnya, program tersebut juga harus bersifat fleksibel yang mana belia mahu bekerja sambil belajar dapat menguruskan masa dengan lebih efisien tanpa mengganggu tugasan di tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, kerajaan juga boleh menjalankan kerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan yang dapat menawarkan kursus-kursus jangka pendek dan kemahiran percuma secara dalam talian sebagai alternatif kepada pengajian fizikal.

"Sebagai contoh, Google telah menyediakan platform Google Career Certificates yang menawarkan pelbagai kursus percuma dan kursus berbayar yang membantu peserta bersedia menempuh alam pekerjaan di dalam bidang teknologi maklumat.

"Setiap peserta yang telah tamat kursus akan memperoleh sijil daripada platform pembelajaran ini, seterusnya berpeluang untuk bekerja di dalam 140 buah syarikat yang bernaung di bawah Google," katanya.

Tambahnya lagi, syarikat-syarikat yang bersetuju untuk menyertai program bersifat kebajikan atau Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi membantu masalah generasi muda ini sewajarnya diberi pelepasan cukai atau insentif bersesuaian.

Menurutnya, kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan amat penting untuk sama-sama membendung isu tidak sihat tersebut daripada berterusan menjadi dilema anak muda.

"Kerajaan juga perlu melancarkan kempen kesedaran kepentingan menimba ilmu hingga ke menara gading dengan melibatkan golongan-golongan profesional sebagai ikon belia, sekali gus diharap dapat mengubah persepsi dan mentaliti generasi muda yang menganggap pendidikan tidak lagi menjamin masa depan.

"Kempen kesedaran ini bukan hanya terhad disiarkan di media-media utama negara tetapi harus diperluaskan ke platform media sosial yang menjadi tarikan generasi muda masa kini.

"Penerangan jelas dan terperinci terhadap program atau bantuan pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan dilihat penting supaya golongan belia lebih cakna dengan kemudahan bantuan pendidikan ditawarkan," katanya.