Fenomena air pasang besar di Pontian terkawal

Anggota bomba melakukan pemantauan sekitar pintu air JPS di Tanjung Piai pada Isnin.
Anggota bomba melakukan pemantauan sekitar pintu air JPS di Tanjung Piai pada Isnin.
A
A
A

PONTIAN - Fenomena air pasang besar yang memasuki hari ketiga bagi kawasan sekitar Tanjung Piai dan Kukup di sini masih terkawal pada Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata, keadaan masih terkawal dan tiada kawasan yang dinaiki air.

"Bacaan paras air laut yang diambil dari pintu air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Tanjung Piai pada sebelah tengah hari adalah 1.7 meter. Keadaan terkawal dan cuaca cerah.

"Semasa rondaan dilakukan didapati keadaan paras air laut masih dalam keadaan terkawal dan tidak ada limpahan air yang dilaporkan berlaku," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Tiada limpahan air laut susulan keadaan air pasang terkawal sekitar Tanjung Piai, Pontian.
Tiada limpahan air laut susulan keadaan air pasang terkawal sekitar Tanjung Piai, Pontian.

Sebelum ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjangkakan air pasang besar berlaku di beberapa kawasan bermula Sabtu hingga Khamis ini.

Nadma menerusi perkongsian di laman Facebook memaklumkan Pusat Hidrografi Nasional meramalkan kawasan terlibat adalah Kuala Muda, Kedah; Bagan Datuk, Perak; Pelabuhan Klang, Selangor serta Batu Pahat dan Pontian di Johor.

Menurut Nadma, fenomena itu berpunca daripada pengaruh daya tarikan graviti ketika kedudukan bulan dan matahari sejajar, seterusnya berkemungkinan menyebabkan limpahan air di daratan serta banjir di lokaliti kawasan rendah pesisir pantai.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, penduduk berhampiran pesisir pantai disaran lebih peka dan berwaspada semasa fenomena ini berlaku.