Anthony Loke turut beri bayangan Parlimen bubar

Anthony Loke selesai menyempurnakan program di beberapa negeri dalam tempoh 40 jam. -Foto Facebook Anthony Loke
Anthony Loke selesai menyempurnakan program di beberapa negeri dalam tempoh 40 jam. -Foto Facebook Anthony Loke
A
A
A

SHAH ALAM - Persoalan sama ada Parlimen akan dibubarkan esok atau tidak terus menjadi topik hangat malam ini.

Terbaharu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut memberi bayangan bahawa perkara itu seakan menjadi kenyataan setelah beliau selesai menyempurnakan program di beberapa negeri dalam tempoh 40 jam.

“Kini saya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur untuk bersiap sedia dengan pembubaran Parlimen esok.

“Saya berharap jelajah kali ini dan amanat yang disampaikan dapat menyuntik semangat perjuangan kepada ahli-ahli DAP dan penyokong,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu Sinar Harian turut difahamkan, pimpinan lima tertinggi UMNO (Top 5) kini sedang mengadakan perjumpaan dipercayai bagi membincangkan tentang pembubaran tersebut.

“Atas lima (Top 5) ya? Kalau dalam jadual ada,” menurut sumber ketika ditanya sama ada benar berlaku perjumpaan lima pimpinan tertinggi parti itu.

Sementara itu memetik laporan sebuah portal berita, Parlimen kemungkinan besar akan dibubarkan tengah hari esok susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menghubungi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyatakan hasrat itu.

Selain Anthony Loke, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi juga memberi bayangan Parlimen akan dibubarkan esok.

Artikel Berkaitan:

"Difahamkan anak bulan telah kelihatan dengan jelas di Putrajaya. 'Raya' atau 'Pilihan raya'," tulisnya ringkas di laman Facebook pada Ahad.