Jadikan Rasulullah sebagai contoh terbaik

Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan replika hadiah kemenangan kepada CEO Terengganu Inc yang menjuarai kategori Syarikat Swasta.
Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan replika hadiah kemenangan kepada CEO Terengganu Inc yang menjuarai kategori Syarikat Swasta.
A
A
A

KUALA NERUS – Rakyat negeri ini diseru supaya menjadikan kecekalan dan keteguhan hati Nabi Muhammad SAW dalam mengharungi dugaan serta ujian yang dihadapi sebagai contoh terbaik ketika menghadapi ujian.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah terdapat banyak contoh teladan yang boleh diikuti daripada sirah Nabi Muhammad SAW terutama yang berkaitan dengan akhlak Rasulullah.

Menurut baginda, ketinggian akhlak dan kemuliaan peribadi Nabi Muhammad SAW dalam menyebar ajaran Islam telah menjadikan Rasulullah sebagai contoh terbaik kepada umat sezamannya dari kalangan para sahabat yang teguh bersama dalam menghadapi ujian, baik dalam keadaan senang mahupun susah.

“Begitulah yang sepatutnya ada pada diri kita semua, perlu berlapang dada dalam menghadapi sebarang kesulitan dan kesempitan hidup terutama di akhir-akhir ini.

“Anggaplah apa yang menimpa dan berlaku sebagai ujian daripada Allah SWT dan menjadi kewajipan kepada kita supaya terus berusaha dan meningkatkan azam di samping bersyukur atas nikmat rezeki yang dikurniakan,” titah baginda ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1444H/2022 di Stadium Tertutup, Gong Badak pada Ahad.

Keberangkatan tiba baginda bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sultan Mizan bertitah, mencintai, mengasihi dan menghayati sirah Nabi Muhammad SAW merupakan satu kewajipan ke arah mendidik jiwa serta pembinaan sahsiah diri sebagai umat Islam.

"Justeru, beta mencadangkan supaya di sepanjang bulan Rabiulawal ini, institusi masjid dan surau dapat mengadakan program serta aktiviti yang menjurus kepada menzahirkan rasa cinta dan kasih kepada baginda.

Artikel Berkaitan:

“Perbanyakkan bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW di samping mewujudkan kelas pengajian berzanji dan marhaban di masjid dan surau dalam negeri Terengganu,” titah baginda.

Sebanyak 78 kontinjen melibatkan 2,340 peserta menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1444H/2022 pada kali ini.

Tujuh kategori dipertandingkan iaitu Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri, Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Persekutuan, Pasukan Sekolah Menengah dan IPTA/IPTS, Syarikat-syarikat swasta, Pasukan Beruniform, Badan Bukan Kerajaan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dinobatkan sebagai juara bagi kategori Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri, Sekolah Menengah Imtiaz YT Kuala Terengganu pula johan kategori Pasukan Sekolah Menengah dan IPTA/IPTS manakala kategori Syarikat Swasta pula dimenangi Kumpulan Terengganu Inc.