Hakim Mahkamah Agung ketuai Suruhanjaya Diraja

Masji al-Noor yang menjadi salah satu sasaran serangan pengganas bulan lalu dibuka semula pada 23 Mac lalu. - FOTO AFP
Masji al-Noor yang menjadi salah satu sasaran serangan pengganas bulan lalu dibuka semula pada 23 Mac lalu. - FOTO AFP
A
A
A

WELLINGTON - NEW ZEALAND. Perdana Menteri Jacinda Ardern hari ini menamakan Hakim Mahkamah Agung William Young sebagai ketua Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat serangan pengganas ke atas dua buah masjid di bandar Christchurh bulan lalu yang mengorbankan 50 nyawa.

"Kerajaan akan memastikan siasatan menyeluruh dijalankan secepat mungkin bagi mengetahui punca sebenar serangan 15 Mac lalu, apa yang boleh dilakukan untuk menghalangnya dan bagaimana untuk memastikan keselamatan rakyat New Zealand," ujar Ardern.

Menurut Ardern, suruhanjaya tersebut akan memulakan sesi pendengaran bahan bukti pada 13 Mei ini dan laporan siasatan dijangka dibentangkan pada 10 Disember depan.

Ia dilihat bakal memainkan peranan penting dalam memastikan serangan seumpama itu tidak berlaku lagi.

Siasatan akan melibatkan rundingan dengan komuniti Muslim dan melihat sama ada agensi anti keganasan New Zealand hanya menumpukan perhatian menjejak militan Islam dan mengabaikan ancaman ekstremis haluan kanan.

Suruhanjaya akan turut menyiasat aktiviti pengganas warga Australia, Brenton Tarrant sebelum melakukan serangan, termasuk bagaimana dia mendapat lesen senjata api, senjata dan juga peluru selain meneliti penggunaan media sosialnya.

Susulan serangan bersenjata terbabit, kerajaan New Zealand berikrar mengetatkan undang-undang senjata apinya, mengkaji semula undang-undang berkaitan ucapan kebencian dan menggesa pengendali laman sosial menggandakan usaha menentang ekstremisme atas talian.

Tarrant, 28, yang kini ditahan di penjara berdepan 50 tuduhan membunuh dan 39 cubaan membunuh ekoran serangan bersenjata di Christchurch itu. - AFP

Artikel Berkaitan: