KRPPM cadang pinda Akta SPRM 2009

Che Abdullah ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
Che Abdullah ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Integriti, Governan dan Anti Rasuah mencadangkan pindaan segera dibuat terhadap Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta SPRM) 2009 bagi menjamin kebebasan serta meningkatkan kewibawaan agensi berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pindaan tersebut perlu bagi memastikan proses siasatan, pendakwaan serta pemantauan jenayah rasuah dapat dilaksanakan dengan efisien dan mengikut proses sewajarnya.

“Isu yang timbul hari ini adalah ketelusan dan kebertanggungjawaban SPRM dalam kes-kes siasatan termasuk melibatkan agensinya sendiri yang tidak jelas dan memerlukan pensejajaran semula.

“Lantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan ahli-ahli badan kawal selia di bawah Akta SPRM juga memerlukan prosedur yang betul serta bebas daripada kawalan badan eksekutif.

“Dalam memastikan SPRM dapat menjalankan fungsinya menangani rasuah dan salah guna kuasa, pindaan sama ada terhadap Akta SPRM 2009 mahupun pindaan perlembagaan harus dilakukan secara komprehensif," katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.

Dalam pada itu Che Abdullah berkata, cadangan terhadap pindaan melibatkan Seksyen 13, Seksyen 14 dan Seksyen 15 Akta SPRM 2009 bertujuan untuk meletakkan autonomi kepada Lembaga Penasihat bagi mengawasi operasi agensi itu selain berkuasa melaksanakan sebarang perubahan.

Jelasnya, pindaan terhadap peruntukan yang berkaitan turut mencadangkan proses pelantikan Lembaga Penasihat disemak semula dengan mewujudkan sebuah majlis pilihan bagi menjamin lantikan yang telus.

“Keanggotaannya perlu terdiri daripada perdana menteri, menteri undang-undang, ketua hakim, ketua pembangkang, Pengerusi Jawatankuasa Parlimen, Presiden Majlis Peguam dan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Artikel Berkaitan:

“Majlis berkenaan turut bertanggungjawab terhadap cadangan dan pemilihan bagi lantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM," katanya.

Sementara itu beliau menjelaskan, pindaan berkenaan turut mencadangkan Jawatankuasa Tetap Parlimen yang bebas pengaruh perdana menteri diwujudkan di bawah Seksyen 14 Akta SPRM bagi mengawal selia agensi tersebut dan pengendalian kes-kes rasuah di Malaysia.

"Jawatankuasa tersebut akan memantau, menyemak dan melaporkan kepada Parlimen perlaksanaan fungsi dan operasi SPRM, mendapatkan maklum balas yang sewajarnya serta membuat sebarang cadangan penambahbaikan kepada undang-undang, dasar, peraturan dan garis panduan berkaitan rasuah dan operasi SPRM," jelasnya.