Syed Saddiq bebas atau bela diri diketahui 28 Oktober

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Ahli Parlimen, Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dibebaskan atau diperintah bela diri atas empat pertuduhan bersubahat kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi di sini, diketahui 28 Oktober depan.

Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan selesai membuat hujahan di akhir kes pendakwaan pada Khamis.

“Kita tangguhkan prosiding sehingga 28 Oktober ini,” kata JC.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd 'Afif Ali, manakala peguam, Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Ahli Parlimen Muar itu.

Pada 27 September lalu, pendakwaan menutup kes ini selepas memanggil 30 saksi dalam perbicaraan yang bermula 21 Jun lalu.

Saksi yang dipanggil termasuk ibu bapa Syed Saddiq iaitu Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz serta Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff.

Selain itu, pendakwaan memanggil (saksi pendakwaan ke-13), bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rafiq Hakim Razali dan tiga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu SP25 Mohd Syahmeizy Sulong; SP28 Nurul Hidayah Kamarudin dan (SP-29) Asbi Munip.

Mereka telah menawarkan 13 saksi kepada pembelaan termasuk dua pegawai forensik SPRM, Moses anak Lawrence dan Wan Zulkifli Wan Jusoh serta rakan Syed Saddiq; Mohamed Amshar Aziz, Nurali Nadzwan dan Muhammad Suhaimi Yahya.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.