Penalti Harimau Selatan lemahkan moral Kenari

Velazquez meraikan gol jaringannya ketika menentang KDA pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman pada Selasa. - Foto Bernama
Velazquez meraikan gol jaringannya ketika menentang KDA pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SEPAKAN penalti dan kesilapan pemain pertahanan yang menghadiahkan gol mudah kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi faktor Kedah Darul Aman (KDA) FC gagal meraih mata dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman pada Selasa.

Pengendali KDA, Aidil Sharin Sahak menganggap sepakan penalti ‘kontroversi' diperoleh Harimau Selatan disempurnakan Leandro Velazquez pada minit ke-59, melemahkan moral pemain dan corak permainan skuad Kenari terutama di babak kedua perlawanan.

“Separuh masa pertama kami bermain seperti dirancang tapi penalti di separuh masa kedua permainan telah mengubah keseluruhan permainan kerana ia telah melemahkan moral pasukan.

“Sepakan penalti itu sama ada betul atau tidak saya tak mahu komen, tapi ia memberi kesan kepada pasukan yang sedang bertembung dengan pasukan kuat,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan yang menyaksikan KDA tewas 1-3 kepada JDT.

Bagaimanapun Aidil Sharin mahu semua pemainnya tidak berputus asa atau menyalahkan mana-mana pihak dan terus berusaha memperbaiki kelemahan untuk berhadapan beberapa lagi baki perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini.

“Jadual perlawanan yang padat juga bukan alasan kerana segala persediaan telah dilakukan dan para pemain sedar lawan mereka (malam tadi) adalah pasukan besar dalam liga dan mereka tekad beri tentangan,” katanya.

Dalam perlawanan itu KDA bermula baik apabila mendahului pada minit ke-12 menerusi jaringan Ronald Ngah Wanja sebelum JDT menyamakan kedudukan menerusi Bergson Da Silva pada minit ke-36.

JDT memperoleh sepakan penalti pada minit ke-59 selepas Syafiq Ahmad dijatuhkan di dalam kotak penalti yang disempurnakan Velazquez sebelum Afiq Fazail menambah gol ketiga pasukan pelawat pada minit ke-78 sekali gus meleburkan impian KDA untuk memperoleh sebarang mata dalam perlawanan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: