Padah berlabuh tanpa kebenaran

Kapal kargo yang ditahan Maritim kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 14.5 batu nautika barat daya Sekinchan di sini pada Khamis.
Kapal kargo yang ditahan Maritim kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 14.5 batu nautika barat daya Sekinchan di sini pada Khamis.
A
A
A

SEKINCHAN - Tindakan sebuah kapal kargo berlabuh tanpa kebenaran mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor di kedudukan kira-kira 14.5 batu nautika barat daya Sekinchan di sini pada Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, kapal kargo berdaftar di Panama yang dikendalikan 19 kru lelaki warga China termasuk nakhoda berusia antara 26 hingga 52 tahun ditahan pada jam 12.35 tengah hari.

Menurutnya, kehadiran kapal itu dikesan melalui radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia di Area Command Centre (ACC) Klang sejurus mendapat maklumat daripada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor dan Jabatan Laut Wilayah Tengah.

"Bot ronda Maritim diatur gerak ke perairan Sekinchan untuk pemeriksaan dan sejurus tiba mendapati semua kru kapal memiliki dokumen pengenalan diri yang sah namun nakhodanya gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran berlabuh daripada Jabatan Laut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau memberitahu, dua kru kapal kargo tersebut kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Siva Kumar memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 491 B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius pelanggaran undang- undang dan tindakan sewajarnya bakal diambil demi keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Artikel Berkaitan:

"Pengusaha atau pemilik kapal pula dinasihatkan memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut sebelum melakukan sebarang aktiviti di perairan negara," jelas beliau.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah Maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan MERS 999 untuk

tindakan segera.