Persembahan lima bintang Bayern di Allianz Arena

Aksi pemain Bayern ketika menewaskan Viktoria Plzen, 5-0 dalam perlawanan Kumpulan C Liga Juara-Juara di Stadium Allianz Arena. - Foto EPA
Aksi pemain Bayern ketika menewaskan Viktoria Plzen, 5-0 dalam perlawanan Kumpulan C Liga Juara-Juara di Stadium Allianz Arena. - Foto EPA
A
A
A

GERGASI Bundesliga Bayern Munich, mencipta sejarah tersendiri apabila melebarkan rekod tanpa kalah saingan Liga Juara-Juara setelah membelasah Viktoria Plzen, 5-0 dalam perlawanan Kumpulan C di Stadium Allianz Arena.

Skuad kendalian Julian Nagelsmann itu bermula garang apabila meledak tiga gol dalam tempoh 21 minit bermula dengan jaringan Leroy Sané (7'), Serge Gnabry (13') dan Sadio Mane (21'), bagi mendahului separuh masa pertama.

Babak kedua, tuan rumah terus garang apabila menembah dua gol lagi bermula dengan jaringan Sane pada minit ke-50, sebelum Maxim Choupo-Moting melengkap persembahan lima bintang Bayern dengan gol minit ke-59'.

Kemenangan ketiga selepas mengharungi tiga perlawanan itu membolehkan Bayern memperkukuhkan cengkaman peneraju kumpulan dengan sembilan mata, tiga mata mengatasi pesaing terdekat Inter Milan.

Kejayaan di Munich itu juga menyaksikan mencipta rekod baharu saingan tertinggi kelab Eropah itu apabila mengekalkan rentak tanpa kalah dalam 31 perlawanan peringkat kumpulan dengan 28 kemenangan dan tiga seri, sekali gus memintas rekod lama milik gergasi La Liga, Real Madrid.

Sementara itu, Antonio Conte tegaskan Tottenham Hotspur harus menyalahkan diri sendiri apabila mensia-siakan peluang untuk meraih kemenangan apabila terikat tanpa jaringan dengan Frankfurt di tempat lawan dalam aksi Liga Juara-Juara pada Rabu.

Conte nyata kecewa dengan penyudah tumpul jentera serangan dalam usaha mereka untuk membawa pulang tiga mata berharga.

Pasangan penyerang Spurs, Harry Kane dan Son Hueng-min yang meledak 40 gol pada musim Liga Perdana Inggeris 2021-2022, gagal memanfaatkan beberapa peluang terbaik.

Artikel Berkaitan:

Ketumpulan mereka merobek gawang dilihat seringkali menerima kecaman penyokong tuan rumah.

Ketika Conte memuji prestasi barisan pemainnya beraksi di depan penyokong Frankfurt, beliau tetap kecewa apabila mereka mensia-siakan beberapa peluang terbaik.

"Kami perlu lebih klinikal. Bola sepak adalah mudah, untuk menang, anda perlu menjaringkan gol.

"Kami memerlukan masa untuk membina, melangkah setapak demi setapak, memperbaiki dan menjadi lebih kuat sebagai sebuah skuad," katanya.

Dalam pada itu, pengurus Frankfurt, Oliver Glasner memuji aksi bertaraf dunia penjaga golnya, Kevin Trapp dan tetap berpuas hati meraih satu mata selepas mengharungi minggu sukar di Bundesliga apabila tewas 0-2 kepada Union Berlin.

"Tottenham pasukan pilihan (dalam kumpulan). Aksi ini mungkin salah satu yang terbaik di Eropah.

"Adalah penting untuk mengawal lawan dan memanfaatkan beberapa ruang yang diberikan oleh skuad bimbingan Antonio," ujar Glasner.


KEPUTUSAN


Olympique Marseille 4-1 Sporting Lisbon

Bayern Munich 5-0 FC Viktoria Plzen

Liverpool 2-0 Rangers

Inter Milan 1-0 Barcelona

Eintracht Frankfurt 0-0 Tottenham Hotspur

Ajax Amsterdam 1-6 Napoli

Club Brugge 2-0 Atlético de Madrid

Porto 2-0 Bayer Leverkusen