Skuad mantap galas cabaran Hoki Piala Sultan Johor

Para pemain diletakkan penanda aras tinggi untuk menggalas cabaran negara dalam saingan Piala Sultan Johor akhir Oktober. - Foto FB MHC
Para pemain diletakkan penanda aras tinggi untuk menggalas cabaran negara dalam saingan Piala Sultan Johor akhir Oktober. - Foto FB MHC
A
A
A

SKUAD yang akan menggalas cabaran negara di Kejohanan Hoki Bawah 21 tahun (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) 2022 akhir Oktober ini merupakan pemain yang terbaik dan berkualiti.

Ia susulan satu penanda aras yang tinggi diletakkan barisan kejurulatihan sebelum memilih pemain muda itu untuk menyarung jersi negara pada kejohanan yang bermula 22 hingga 29 Oktober ini di Johor Bahru.

Penolong ketua jurulatih skuad projek khas lelaki kebangsaan, Megat Azrafiq Megat Termizi berkata, seramai 30 pemain dipanggil menyertai kem pemilihan dan mereka sudah melaporkan diri dan memulakan sesi latihan pada Isnin.

“Sesi latihan minggu ini kami memberikan mereka ruang untuk mendapatkan rentak. Sesi latihan pada minggu seterusnya, kami akan menumpukan sepenuhnya kepada taktikal.

“Barisan kejurulatihan telah menetapkan satu penanda aras yang tinggi untuk pasukan ini.

“Kami ingin melihat kesungguhan pemain terutamanya dalam di padang, disiplin mereka di dalam mahupun di luar padang dan semangat untuk bersaing serta mentaliti untuk menang di dalam padang serta fizikal pemain itu sendiri,” katanya.

Menurut Megat, pihaknya telah menyusun dua aksi persahabatan menentang Australia pada 18 Oktober diikuti pertemuan dengan Great Britain sehari kemudian sebagai persiapan menghadapi saingan SOJC kali ini.

“Piala Sultan Johor adalah kejohanan B-21 dan kami memanggil tiga pemain berusia 21 tahun yang telah beraksi di Piala Dunia Remaja 2021.

Artikel Berkaitan:

“Barisan kejurulatihan berharap kehadiran tiga pemain ini dapat membantu pasukan bagi membimbing pemain lain di dalam padang terutamanya yang tidak mempunyai pengalaman bermain di pentas antarabangsa,” katanya.

Selepas tertunda dua tahun akibat pandemik Covid-19, edisi ke-10 SOJC kembali dengan penyertaan enam pasukan iaitu Great Britain, Jepun, India, Australia, Malaysia dan Afrika Selatan yang buat julung kali menyertai kejohanan tersebut.

Edisi terakhir pada 2019 menyaksikan skuad negara menamatkan saingan di tempat ketiga dengan Great Britain muncul juara.

Malaysia pernah muncul juara SOJC iaitu pada edisi 2011 yang merupakan tahun pertama kejohanan diperkenalkan.