Zeti Akhtar tahu Najib akan terima AS$100 juta: Saksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengetahui Datuk Seri Najib Tun Razak akan menerima AS$100 juta daripada Arab Saudi.

Cheah Tek Kuang, 75, berkata, demikian semasa prosiding membabitkan bekas Perdana Menteri, yang berdepan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saksi pendakwaan ke-39 itu berkata, Zeti Akhtar mengetahui perkara itu selepas beliau memaklumkannya dalam pertemuan empat mata pada awal 2011 lalu.

“Dalam pertemuan tersebut, hanya kami berdua sahaja yang berbincang, kerana perkara ini adalah rahsia dan melibatkan kepentingan Perdana Menteri.

“Penting bagi saya untuk memaklumkan hal ini kerana ia melibatkan terma individu yang terdedah secara politik (PEP),” katanya ketika membaca pernyataan saksi dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Susulan itu, beliau berkata, Zeti Akhtar mengambil maklum perkara tersebut dan meminta agar ia dilakukan mengikut peraturan bank dan Bank Negara Malaysia (BNM) sedia ada.

Selepas pertemuan berkenaan, Tek Kuang berkata, semua urusan pengoperasi diserahkan kepada Pegawai Perhubungan AmBank, Joanna Yu dan Bahagian Operasi bank sama, diketuai oleh Ross Foden.

Menurutnya, Foden dan pasukannya telah bercadang untuk mengawal selia akaun ini dengan menyediakan kod nama khas kerana ia adalah sensitif dan mengelakkan kebocoran maklumat seperti mana kes Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Artikel Berkaitan:

“Saya bersetuju dengan kod nama iaitu AmPrivate Banking-MR bagi akaun Najib bagi mengelakkan maklumat peribadi di salah gunakan dan saya maklumkan perkara itu dalam surat yang dihantar kepada Zeti Akhtar pada 9 Februari 2011.

“Surat ini dihantar bertujuan memaklumkan kod nama yang digunakan bagi akaun Ambank Islmic milik Najib bagi akaun nombor berakhir 969-4,” katanya.

Tek Kuang berkata, selaku pengarah urusan ketika itu, beliau telah mengambil langkah-langkah yang betul dalam memaklumkan isu itu kepada BNM.

Saksi ini juga menafikan bahawa, AmBank mempunyai niat untuk menyembunyikan sebarang maklumat daripada Bank Negara.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Rabu.